Ahad, 20 Februari 2011

Muhyiddin Kena Tengok Dulu Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Kata Abdullah

TVS NEWS


SHAH ALAM : Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat berada dalam keadaan tunggang langgang.

Ujarnya, Muhyiddin harus segera berpatah balik dan merenung pentadbiran siapa yang mendapat pengiktirafan dari Audit Negara sekaligus meletakkan Selangor di tangga teratas sebagai penyumbang pelaburan tertinggi di Malaysia.

"Pengiktirafan dari Audit Negara menjelaskan bahawa urus tadbir yang terbaik di kalangan dalam negara ini adalah Selangor salah satunya.

"Kebocoran pentadbiran berserta dengan ketidakperluan, pembaziran tidak berlaku di Selangor, dua tahun yang lepas Selangor telah sampai kemuncak yang terbaik dalam sejarah Selangor," kata Abdullah kepada Tv Selangor.

Malah tegas Abdullah, Muhyiddin yang memimpin kerajaan persekutuan juga tidak perlu membuat tuduhan melulu tanpa bukti, sebaliknya disaran menyiasat segala ketirisan, pembaziran dana awam dan kepincangan dalam pengurusan kerajaanya terlebih dahulu.

"Yang tunggang langgang sebenarnya adalah Persekutuan, ketirisan berlaku RM28 billion setiap tahun, gas, percukaian untuk korporat tertentu tidak dikutip dan dikenakan berjumlah RM19 billion," tambahnya lagi.

Semalam Muhyiddin ketika berucap dalam majlis pecah tanah projek Jalan Tuie-Supa-Manggut, Betong Sarawak berkata kerajaan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan tunggang langgang.

Malah dalam ucapannya beliau turut memperlekehkan kredibiliti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan mendakwa pentadbiran Selangor di bawah pimpinan PR tidak menepati kehendak rakyat.

Namun kenyataan Muhyiddin itu pantas disanggah oleh Abdullah dan menggesa Muhyiddin supaya menghargai pelaburan yang dibawa oleh Selangor untuk negara ini.

"Jadi di sinilah meletakkan bahawa Muhyiddin tidak perlu dalam mewarnai landskap kepimpinan negara,"kata Abdullah.

Tiada ulasan: