Rabu, 9 Februari 2011

Khusrin angkat sumpah SUK minggu depan

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM - Datuk Mohd Khusrin Munawi akan mengangkat sumpah simpan rahsia sebagai setiausaha kerajaan negeri (SUK) di hadapan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim minggu depan.

Khalid mengesahkan Khusrin akan mengangkat sumpah di hadapan beliau minggu depan.

“Ya, beliau akan mengangkat sumpah simpan rahsia minggu depan... sekarang beliau bertindak sebagai setiausaha kerajaan negeri, sejak 1 Januari 2011,” kata Khalid kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan bila Khusrin akan mengangkat sumpah.

Lazimnya ia akan berlangsung sebelum bermulanya mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Sehubungan majlis angkat sumpah itu, kata Menteri Besar Selangor, pihaknya akan menstruktur prosedur mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

“Mesyuarat Exco akan dibahagikan kepada dua. Satu di mana Setiausaha Kerajaan boleh hadir, dan satu lagi di mana beliau tidak boleh hadir.

“Beliau hadir mesyuarat Exco tetapi apabila ada perbincangan yang melibatkan Exco dilantik, beliau (Khusrin) tidak boleh hadir,” kata Khalid.

Apabila ditanya sama ada langkah itu bertujuan mengehadkan kuasa Khusrin sebagai SUK, Khalid menafikan perkara itu.

“Ia normal, perkara biasa,” kata Khalid sambil menambah, ada mesyuarat yang diadakan oleh pegawai-pegawai kerajaan tidak boleh dihadiir oleh Exco Kerajaan Negeri.

Kelmarin satu pertemuan formal antara Khalid dan Khusrin telah diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar.

Pertemuan itu sekali gus dilihat mengakhiri kelemut berlarutan lebih sebulan lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sejurus selepas pertemuan itu, Pejabat Menteri Besar berkata pertemuan itu diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar.

Kenyataan itu berkata pada pertemuan tersebut, Khalid mengarahkan Khusrin agar memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor, terutamanya yang terbiar dan bermasalah.

Khalid juga menyarankan supaya Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Khusrin dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Januari lalu, yang pengumumannya dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan 27 Disember.

Pelantikan itu membawa kepada krisis perlembagaan termasuk usaha kerajaan negeri meminda Artikel 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar dalam urusan melantik tiga jawatan tertinggi negeri iaitu SUK, penasihat undang-undang dan pegawai kewangan negeri.

Bagaimanapun usaha itu gagal kerana tidak cukup undi majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Tiada ulasan: