Isnin, 7 Februari 2011

Kerajaan Selangor Bantu Mangsa Banjir

TVS NEWS

SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM150,000 bagi membantu mangsa-mangsa banjir di selatan tanah air iaitu di Johor, Melaka, dan Pahang.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, pihaknya telah turun padang sejak Khamis lalu untuk membantu mangsa banjir di Johor.

Menurut Rodziah, bantuan yang diberikan termasuklah keperluan asas seperti makanan untuk memudahkan mangsa banjir memulakan kehidupan selepas kediaman mereka dilanda banjir.

"Fasa pertama kita keluar RM50,000 lepas tu bila kita tengok keadaan banjir pula berlaku di Johor dan Melaka jadi kita tambah lagi RM150,000 jadi RM200,000 semuanya," katanya.

Rodziah berkata, kebanyakan mangsa banjir telah pulang ke rumah namun, masih terdapat keluarga yang tinggal di pusat pemindahan sementara.

Jelas Rodziah, bantuan RM150,000 adalah bantuan tambahan Kerajaan Negeri kepada mangsa banjir di negara ini setelah berjaya memperuntukkan RM50,000 kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, Rodziah turut akan menyalurkan bantuan mangsa banjir ke Negeri Sembilan.

"Saya sendiri turun ke Terangganu, Pahang, insyaAllah akan pergi juga ke Negeri Sembilan untuk bantuan tersebutlah, kita bagi rumah ke rumah dan kita kumpulkan mereka untuk beri bantuan secara teratur," katanya.

Sehingga semalam, keadaan banjir di Johor, Melaka dan Pahang dilaporkan surut sepenuhnya dengan jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan kekal dan hanya beberapa pusat pemindahan masih lagi dibuka.

Tiada ulasan: