Selasa, 8 Februari 2011

Injunksi sementara: SPR dilarang bincang kerusi DUN Pelabuhan Klang

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM – Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang dilucutkan kedudukannya sebagai wakil rakyat bulan lalu hari ini memperoleh injunksi sementara bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada membincangkan status kerusi itu.

Dengan keputusan itu SPR tidak boleh membincangkan status kerusinya sehingga kes yang dibawa ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Kim didengar pada 17 Februari ini.

Peguam Badrul (gambar), Datuk Hafarizam Harun memberitahu pemberita bahawa injunksi sementara itu diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Zaleha Yusof di kamarnya hari ini.

Pada 28 Januari lalu, Hakim Suraya Othman hanya memberikan nasihat supaya kesemua pihak khususnya SPR supaya tidak membincangkan status kerusi itu sehingga permohonan Badrul didengar.

Teng mengumumkan kerusi itu kosong pada 16 Januari lalu atas alasan Badrul tidak menghadiri sidang dewan selama enam bulan.

Badrul memfailkan permohonan pada 28 Januari lepas bagi menghalang SPR daripada mengadakan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan, atau mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong.

Sebelum itu, pada 24 Januari, Badrul memfailkan saman pemula untuk mendapatkan pengisytiharkan mahkamah bahawa beliau masih Adun Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan DUN Selangor.

Beliau juga meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan Teng sebagai tidak sah dan batal kerana ia melangkaui Perlembagaan Selangor.

Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong atas alasan Badrul tidak menghadiri persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang sebab munasabah.

Badrul yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008, meninggalkan parti itu pada Oktober 2009 untuk menjadi Adun Bebas.

Beliau menyertai Umno pada Mei tahun lepas.

Tiada ulasan: