Rabu, 23 Februari 2011

Hishamuddin Rais: Islam dengan sejarah 1500 tahun runtuh kerana pluralisme?

Lim Hong Siang

"Perdebatan sekarang adalah, (kononnya) pluralisme tak boleh. Ini gerakan subversif yang akan meruntuhkan Islam. Islam ini begitu cetak (shallow), begitu lemah (weak). Pluralisme runtuh Islam. Institusi kepercayaan kepada Tuhan dengan sejarah 1500 tahun, runtuh hanya kerana beberapa orang pelawak (joker) kata kita pluralisme."

Demikianlah kata-kata Hishamuddin Rais (gambar kanan, kanan) dalam nada menyindir, untuk menyanggah kenyataan Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini, yang menggesa agar umat Islam menjauhi pluralisme agama, perkembangan yang menurutnya akan meletakkan Islam sama taraf dengan agama-agama lain.

Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menyentuh isu ini ketika mengulas pergolakan politik tanah air, yang menyaksikan bagaimana Islam ditafsir dalam dua versi, mengikut United Malays National Organisation (UMNO) dan Parti Islam Malaysia (PAS). Untuk Hishamuddin Rais, persaingan antara kedua-dua parti politik ini untuk menjadi lebih "Islamik", merumitkan hidup (miserable) sebagai seorang muslim di Malaysia.

Beliau membangkitkan pertikaian ini dalam forum "Kebangkitan Rakyat: Harapan untuk Demokrasi di Timur Tengah?" anjuran MerdekaReview, bersama Free Public Forum dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Kebetulan, Utusan Malaysia hari ini memaparkan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Harun Taib yang menegur Anwar Ibrahim kerana mendukung pluralisme.

Dahulukan demokrasi daripada negara Islam

Pertikaian pluralisme bermula sejak tahun lalu, antara yang mempersoalkannya adalah Mufti Perak, Harussani Zakaria dengan kenyataan bahawa orang Islam yang berfahaman pluralisme agama, iaitu mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar adalah kafir dan murtad. 【Baca Utusan Malaysia: Amal pluralisme adalah haram】

Pertikaian ini dilanjutkan baru-baru ini, apabila Najib menggesa agar umat Islam menjauhi pluralisme agama pada 18 Februari, dan Utusan Malaysia pada hari ini pula, memetik Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS untuk mendakwa "Pluralisme bertentangan akidah Islam". Malah, larangan ini tidak terbatas kepada sesiapa sahaja, termasuk Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR.

Untuk Hishamuddin Rais, Islam bukanlah agama yang begitu lemah sehingga boleh diruntuh hanya kerana beberapa orang berhujah untuk mendukung pluralisme. Malah, beliau mempersendakan hujah-hujah seperti pemakaian topi merah Santa Claus bakal dihukum untuk masuk neraka. Beliau menuntut perdebatan terbuka dalam isu ini, dan jangan dilemparkan tuduhan masuk neraka sewenang-wenangnya.

"Apa yang saya bantah terhadap parti Islam adalah mereka berhujah atas nama Tuhan (speak on the behalf of God). (Seolah-olah) Mereka berkomunikasi secara langsung dengan Allah SWT. Itu saya nak tahu, siapa memberi mereka autoriti itu? Bagaimana mereka dapat autoriti itu? Apa nombor telefon bimbit Allah?" Kata-kata Hishamuddin Rais ini menerima tepukan daripada 150 orang yang hadir untuk mengikuti forum tersebut.

Penulis bebas ini mempersoalkan apa maknanya untuk menyulitkan hidup orang, atau mendatangkan masalah kepada muslim dengan sekatan-sekatan yang dicadangkan ahli politik di Malaysia. Malah, Hishamuddin Rais menambah, cendekiawan Islam, Yusuf al-Qaradawi sendiri mendahulukan proses demokrasi daripada mendirikan negara Islam.

*Forum "Kebangkitan Rakyat: Harapan untuk Demokrasi di Timur Tengah?" dianjurkan bersama oleh MerdekaReview, Free Public Forum dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 22 Februari 2011 di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Antara ahli panelnya, Nora Murad (Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia-AIM), Liew Chin Tong (ahli parlimen Bukit Bendera-DAP), Mujahid Yusuf Rawa (ahli parlimen Parit Buntar-PAS) dan Hishamuddin Rais (penulis bebas), dengan Fahmi Fadzil sebagai moderatornya.

Tiada ulasan: