Isnin, 21 Februari 2011

Akta Penerbitan: MCA Perlu Bawa Ke Parlimen-NUJ

TVS NEWS


SHAH ALAM : MCA digesa agar membawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk dipinda dalam Parlimen, kata Presiden Pertubuhan Wartawan Kebangsaan atau NUJ, Hatta Wahari.

Kata Hatta sekiranya MCA serius mahu mengubal akta tersebut, parti itu seharusnya membawa akta tersebut ke Parlimen untuk dibahaskan.

"Kalau MCA benar-benar serius untuk melihat Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu dipinda atau dihapuskan maka mereka juga harus serius membawa perkara ini ke kabinet," sarannya.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyarankan penubuhan sebuah panel bagi menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya Menteri Dalam Negeri tidak diberi kuasa mutlak atau budi bicara dalam melulus atau membatalkan permit penerbitan.

Soi Lek turut berkata beliau memahami kebimbangan di kalangan wartawan dan pemilik media berhubung dengan akta tersebut.

Namun apa yang dikesali NUJ, sebagai pemimpin politik dan mempunyai kuasa untuk membawa perkara ini ke Parlimen tetapi hanya bertindak menzahirkan kebimbangan di luar sahaja.

"Saya mencadangkan MCA jika mereka benar-benar serius untuk melihat kepesatan media di negara ini dapat dilaksanakan mereka perlu mendesak kabinet mengubal akta tersebut," katanya.

NUJ berpendapat akta tersebut seharusnya dipinda memandangkan ia sudah terlalu usang, ketinggalan zaman selain tidak relevan lagi dalam teknologi maklumat hari ini.

"Sebenarnya akta ini telah terlalu lama, dari tahun 1984 maknanya sudah 20 tahun.

"Bermakna akta ini telah terlalu ketinggalan zaman, pada saya jika akta ini tidak dipinda maka industri media di negara ini akan ketinggalan zaman sedangkan media di dunia ini sentiasa berkembang," katanya yang lantang menyuarakan tentang kebebasan media.

Tiada ulasan: