Rabu, 23 Februari 2011

AJK Umno Jasin Roslan calon BN DUN Merlimau

TERKINI
BERNAMA

JASIN — Ahli Jawatankuasa Umno Jasin Roslan Ahmad dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau di sini hari ini.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.

Pengumuman tersebut dibuat di hadapan kira-kira 3,000 penyokong BN di Command Centre di Merlimau dekat sini, hari ini.

“Ini diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN selepas kita menerima cadangan dan proses penyaringan berkali-kali dan kita dapati saudara Roslan adalah calon paling sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau di sini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Roslan, 44, mempunyai rekod pengalaman dan pemimpin yang dikenali di kalangan pengundi DUN Merlimau dan beliau berharap pengundi berpuas hati atas pemilihan beliau sebagai calon.

Roslan ialah Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Melaka berkelulusan diploma dalam bidang pengurusan perniagaan.

Allahyarham bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin ialah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, yang setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya dinamakan DUN Merlimau.

Muhyiddin berharap jentera BN yang telah bersedia hampir sebulan menghadapi pilihan raya kecil itu akan dapat meningkatkan undi majoriti berbanding pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit beliau sendiri sungguhpun bapanya pernah menjadi Adun kawasan itu manakala bapa saudaranya pula, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga pernah dipilih sebagai Adun kawasan itu.

“Walaupun dari segi perhubungan dan pertalian itu tidak boleh kita elakkan tetapi yang penting dan dinilai oleh pucuk pimpinan ialah beliau (Roslan) sendiri, berasaskan latar belakang dan potensi beliau itulah yang paling utama,” katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.

Tiada ulasan: