Isnin, 7 Februari 2011

ADUN Sri Muda mengaku tidak salah tuduhan hasutan

TERKINI


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei bercakap kepada media selepas memberi keterangan berhubung satu entri dalam blognya pada 12 Januari. — Foto Bernama

SHAH ALAM — ADUN Sri Muda dari PKR Shuhaimi Shafiei mengaku tidak bersalah atas tuduhan hasutan yang dibawa terhadapnya pagi ini.

Wakil rakyat penggal pertama itu dikenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya menyentuh kemelut pelantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor menerusi blognya pada 30 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan, Shuhaimi, 42, berhadapan dengan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes itu akan disebut semula pada 28 Mac.

Beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR didakwa melakukan kesalahan tersebut di pusat khidmatnya di Kota Kemuning di sini dan kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan.

Turut hadir di bilik mahkamah yang sesak pagi tadi ialah Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dan Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar dan Yaakob Sapari.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria meminta mahkamah menetapkan RM20,000 sebagai wang ikat jamin atas alasan kesalahan didakwa dilakukan adalah serius membabitkan hasutan terhadap Sultan Selangor.

Bagaimanapun peguam Shuhaimi, Amer Hamzah Arshad membantahnya atas alasan permintaan itu bersifat menekan anak guamannya sedangkan hukuman denda yang diperuntukkan hanyalah RM5,000 di bawah Akta Hasutan.

Seorang lagi peguam Shuhaimi, Edmund Bon pula meminta mahkamah hanya mengenakan bon peribadi berbanding wang ikat jamin.

“Jika hari ini bon diberikan, beliau tidak perlu menyediakan RM20,000,” kata Bon lagi.

“Hanya kata-kata jaminannya dijadikan sekuriti. Sebagai seorang ADUN, anak guaman saya tidak akan melarikan diri,” katanya.

Peguam ketiga Shuhaimi, N. Surendran berkata wakil rakyat itu akan memfailkan petisyen untuk meminta tuduhan ke atasnya digugurkan atas alasan Akta Hasutan bercanggah dengan perlembagaan.

“Kami akan membuat permohonan di Mahkamah Tinggi dalam waktu terdekat,” kata Surendran.

Selain Amer, Surendran dan Bon, Shuhaimi juga diwakili oleh Latheefa Koya, Yusmadi Yusoff, Fahri Azzat dan Nizam Bashir.

Shuhaimi ditahan polis Khamis lalu untuk mendakwanya di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung satu entri di dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di dalam blognya pada 30 Disember lalu yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Beliau menafikan kenyataannya itu bertujuan untuk menghasut rakyat dan menghina Sultan.

Tiada ulasan: