Selasa, 15 Februari 2011

77 penduduk Kampung Indian Settlement terima geran

SELANGOR KINI

Amirudin Shari

GOMBAK - Kerajaan Negeri Selangor berjaya menyelesaikan masalah 77 penduduk Kampung Indian Settlement bagi memperoleh geran tanah mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari berkata, mesyuarat khas yang diadakan bertujuan memastikan pengurusannya teratur dan program menyerahkan geran tanah kepada mereka yang layak akan diadakan pada 19 Februari ini.

“Kita harap majlis ini nanti akan berjalan lancar tanpa sebarang halangan. Insya-Allah, ia akan dirasmikan sendiri Menteri Besar, Tan Sri Abd khalid Ibrahim, pada jam 2.30 petang.

“Diharap semua media dan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves dapat menghadiri “Majlis hi-tea bersama pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor pada hari itu nanti,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, ketua-ketua kampung di DUN Batu Caves, pihak Pejabat Tanah Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan polis.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, semenjak 50 tahun lalu, isu geran ini tidak dapat diatasi dengan baik walaupun penduduk telah mengadakan bantahan kepada pihak terlibat agar masalah itu dapat diatasi sebaiknya.

Difahamkan rentetan isu itu, penduduk telah menghantar surat berkaitan permohonan penyelesaian geran tanah ini kepada pihak berkenaan termasuk di Pejabat Adun Batu Caves penggal ini.

Sementara itu, wakil penduduk, N.Malairasan memaklumkan, mereka sudah menyerahkan surat bantahan penduduk kepada Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Caves apabila Pakantan menang pada Pilihan Raya Umun ke-12 (PRU-12) lalu.

Tiada ulasan: