Isnin, 27 September 2010

Teng: "Saya akan beredar jika ia keputusan EGM

'Susan Loone

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Hock Nan hari ini berkata beliau sedia melepaskan jawatannya jika mesyuarat agung tergempar (EGM) yang dicadangkan, meluluskan usul memintanya meletakkan jawatan.

Dalam ucapannya di mesyuarat agung tahunan Gerakan negeri di Pulau Pinang pagi ini, Teng (kanan) berkata beliau melihat cadangan EGM pada 10 Oktober ini secara "positif".

Menurutnya, parti itu menjadi tumpuan publisiti ekoran desakan supaya beliau meletak jawatan, oleh kumpulan yang digelar 'suara akar umbi', yang telah mengumpulkan 60 tandatangan untuk mengadakan EGM tersebut.

"Tapi ia (publisiti) tidak semestinya buruk; ia menunjukkan bahawa dalam parti, kita mempunyai perbezaan pendapat tetapi kita komited untuk menyelesaikan masalah itu.

"Jika usul (supaya saya berhenti) diluluskan dalam EGM tersebut, maka saya akan berbuat demikian, tapi saya akan terus bekerjasama dengan pengerusi baru," tegasnya.

"Jika usul tidak dilakukan, maka saya juga merayu kepada semua orang supaya bekerjasama dengan BN untuk memperjuangkan 1Malaysia dan menentang sebuah kerajaan Islam yang akan melaksanakan undang-undang hudud," tambahnya.

Parti itu dilanda krisis kepimpinan sebelum pilihan raya 2008 lagi di mana Gerakan hilang kuasa mentadbir negeri itu selepas tumbang kepada Pakatan Rakyat.

Desakan supaya Teng keluar parti itu meningkat apabila kumpulan 'suara akar umbi' itu mengemukakan 60 tandatangan, mendesak supaya EGM diadakan untuk melucutkan jawatan Teng.

Tiada ulasan: