Rabu, 15 September 2010

MP PAS cadang bawa isu setinggan ke dewan rakyat

FREE MALAYSIA TODAY

Dr._Lo'_Lo' KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali bercadang membawa isu peneroka bandar dan setinggan ke Dewan Rakyat, November ini.

"Saya akan terus bawa isu ini sebab mereka ini adalah peneroka bandar yang hidup setinggan di Kuala Lumpur sejak lebih 40 tahun lagi," kata Dr Lo’ Lo’ dalam blognya.

"Malah, saya serta semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur pernah memberi memorandum kepada (Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar) Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk memudahkan rakyat."

Katanya, mereka yang terbabit seolah-olah dinafikan hak untuk membeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan pinjaman 100 peratus oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) seperti yang diwar-warkan Raja Nong sebelum ini.

Bagaimana pun, Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri memperkenalkan polisi yang tidak munasabah, iaitu mereka terbabit boleh membeli rumah dengan syarat membayar RM35,000 secara tunai kepada DBKL.

"Kalau diberi membeli peluang membeli rumah pun, disusahkan sedangkan mereka bukan golongan berada, berpendapatan rendah, tidak mampu beli rumah RM35,000 tunai," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Ujarnya, isu itu dibawa oleh Pakatan Rakyat sejak Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek PPR sebelum ini.

"Sebenarnya isu ini telah saya bawa dulu lagi apabila Perdana Menteri (Najib) mengumumkan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR)," ujarnya lagi.

Namun, katanya pentadbiran Najib dilihat sambil lewa dalam mempertahan hak bermastautin peneroka bandar dan kaum setinggan.

Tambahnya lagi, langkah kerajaan menjual rumah kos rendah kepada mereka yang terbabit wajar dilihat tidak munasabah.

"Sepatutnya mereka ini bukan lagi membeli rumah atau sewa kerana mereka ini peneroka-peneroka bandar di sekitar Kuala Lumpur ini," beliau menambah.

Bulan lalu, Ezry Nurul Ridhwan, 34, salah seorang yang terbabit mencabar kementerian dan DBKL mendedahkan jumlah peneroka bandar dan kaum setinggan diberikan peluang memiliki rumah PPR dengan pinjaman 100 peratus BSN, bank panel seperti yang dijanjikan.

Beliau mendakwa DBKL membatalkan tawaran membeli yang membabitkan lebih 10 ribu keluarga.

"Saya cabar DBKL, saya boleh jamin cuba tanya semua yang menyewa rumah PPR yang nak beli rumah, dah dapat beli atau belum," ujarnya sambil mengaku bahawa beliau bekas setinggan di Kampung Pantai Dalam.

Menurut beliau, beberapa bank panel yang dilantik oleh pentadbiran Najib pada 14 Julai lalu menolak semua permohonan pinjaman mereka yang terbabit tanpa memberitahu sebab-musabab yang jelas.

"Kami hanya dimaklumkan bahawa pinjaman 100 peratus untuk ini ditolak, kalau nak beli juga, bayar tunai RM35,000 kos rumah itu," ujarnya sambil mengaku bahawa mereka yang terbabit mustahil mampu membeli rumah secara tunai.

Walhal, katanya Nong Chik pada pertengahan Februari lalu melalui BSN berjanji meluluskan pinjaman 100 peratus demi kepentingan rakyat, khususnya orang-orang Melayu

Tiada ulasan: