Rabu, 15 September 2010

Umno Sabah gesa Najib gugurkan Liew


umnoOleh Micheal Kaung

SANDAKAN: Keretakan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah kini semakin ketara apabila berlakunya perge seran antara Umno dan Parti Liberal Demokratik (LDP) .

Buktinya apabila sayap Pemuda Umno Sabah kini bertegas tidak akan mematuhi kepimpinan BN jika Presiden LDP Vui Keong Liew tidak digugurkan daripada senarai pencalonan dalam pilihan raya akan datang.

Pemuda Umno bahagian di sini berkata pihaknya akan memboikot Liew jika beliau dicalonkan semula bagi merebut kerusi parlimen Sandakan pada pilihan raya umum pada tahun 2013, namun dijangka akan berlaku lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Sandakan Hajo Awang Kadin Tang berkata keputusan itu dibuat selepas Timbalan Presiden LDP Chin Su Phin mengumumkan parti itu tidak akan bekerjasama lagi dengan Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Musa Aman.

"Pemuda Umno Sandakan tidak akan menyokong pelantikan VK Liew sebagai calon ahli Parlimen Sandakan dalam pilihan raya akan datang," tegas beliau.

Walaupun keputusan yang diambil ini agak drastik dan melanggar semangat perpaduan antara parti komponen dalam BN, beliau yakin pemimpin BN yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan mengambil langkah yang sama.

Awang Kadin berkata Pemuda Umno Bahagian Sandakan hanya akan menyokong calon daripada parti komponen BN yang lain dan bukan lagi Liew yang kini memegang jawatan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, walaupun Najib telah menasihatkan parti komponen BN untuk menyuarakan aduan atau rungutan melalui saluran yang sesuai terutamanya melalui mesyuarat majlis tertinggi, namun nasihat itu tidak diendahkan LDP.

"Pemimpin LDP dengan jelas bertindak mengingkari arahan Najib," katanya.

Awang Kadin berkata kenyataan Chin terhadap Musa itu yang dikeluarkan selepas mesyuarat BN peringkat negeri turut menghiris perasaan beberapa penyokong Umno di Sabah.

"Kami mahu Najib menghalang segala tekanan yang diberikan LDP terutamanya terhadap cubaan melemahkan kekuatan pimpinan Umno di Sabah," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan yang lain, seorang lagi Naib Presiden LDP Isaac Pang mengumumkan keluar parti semalam.

Pang yang juga Ketua Bahagian Tanjung Papat menyatakan keputusannya untuk keluar parti atas urusan peribadi.

"Saya sudah pun memaklumkan kepada Liew," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusannya itu.


Tiada ulasan: