Isnin, 4 Mei 2009

Pengundi Kota Alam Shah terbela: Ronnie

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Kerajaan negeri menjelaskan kebajikan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah tetap terbela menerusi peranan Exco serta Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang membantu penduduk di situ meskipun wakil rakyatnya, M Manoharan kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkata, bantuan tersebut membuktikan kerajaan negeri terus memberi perkhidmatan bagi memastikan kebajikan pengundi di DUN berkenaan terjaga.

Kata Ronnie, peranan tersebut diperhebat lagi menerusi peranan isteri Manoharan, S Pushpaneela dan empat lagi pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu yang turut berkhidmat kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Dari segi perkhidmatan kita memang tolong, Exco, ADUN lain dan MPK menolong beliau (Manoharan) menjaga kebajikan penduduk di kawasan ini “ katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama penduduk dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

Ronnie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Manoharan yang mahu melepaskan jawatannya sebagai ADUN kawasan berkenaan.

Hasrat itu dibuat oleh Manoharan ekoran berasa kecewa kerana tidak dapat memberi khidmat secara terus kepada pengundi atau penduduk kawasan Kota Alam Shah sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, keputu-san mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Manoharan selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di Pusat Perlindungan Tahanan Kamunting, Perak 19 Mei ini.

Manoharan, 48, adalah Penasihat Undang-undang pertubuhan haram Hindraf ditahan bersama empat lagi pemimpin pertubuhan itu di bawah ISA pada 13 Disember 2007.

Beliau yang bertanding atas tiket DAP memenangi kerusi DUN Kota Alam Shah setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi pada pili-han raya umum Mac tahun lalu.

Tiada ulasan: