Rabu, 27 Mei 2009

Peguam terkejut suami personaliti TV3 muflis

Oleh Rafidah Mat Ruzki


SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah semalam diberitahu, maklumat hasil carian rasmi di Jabatan Insolvensi pada 15 Mei lalu, mendapati suami personaliti Sistem televisyen Malaysia Berhad (TV3), Zakiah Anas, diisytihar muflis sejak enam tahun lalu.

Peguam Syarie Rubiah Jaffar mewakili Zakiah, 43, memberitahu mahkamah dalam prosiding permohonan bercerai secara taklik personaliti itu, suaminya Mohamed Yusoff Mohamed Taib, 47, diisytiharkan muflis pada 5 Mac 2003.

Rubiah membangkitkan sama ada Mohamed Yusoff boleh membuat sebarang tindakan di mahkamah kerana beliau terikat dengan peruntukan mengikut Seksyen 38, Akta Kebankrapan 1967, iaitu orang yang muflis tidak layak untuk menyenggarakan sebarang tindakan (kecuali tindakan untuk ganti rugi berkenaan kecederaan terhadap dirinya) tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi.

“Akta itu terpakai untuk rakyat Malaysia dan tidak ada pengecualian. Oleh itu, defendan perlu mendapatkan kebenaran daripada pegawai pemegang harta,” katanya.

Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohamed Yusoff memberitahu mahkamah, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai isu itu.

"Saya terkejut kerana baru tahu mengenai isu itu,” katanya.

Beliau kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi kedua-dua pihak berhujah mengenai isu muflis sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.

Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali membenarkan permohonan itu dan menetapkan 9 Julai ini sebagai tarikh untuk mendengar hujahan sama ada seseorang yang diisytihar muflis boleh membela diri di Mahkamah Syariah dalam kes perceraian.

Tiada ulasan: