Sabtu, 2 Mei 2009

Gesa Kerajaan wujudkan Tabung Bantuan Pengangguran segera: Wan Azizah

Anna Yusof


KUALA LUMPUR : Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail mendesak kerajaan mewujudkan Tabung Bantuan Pengangguran melalui Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu golongan pekerja mengharungi kelemut ekonomi.

Beliau berkata usul yang di cadangkan Pakatan Rakyat itu tuntas bagi membantu mangsa pemberhentian kerja besar-besaran yang semakin parah hari ini.

“Statistik pengangguran dalam negara melonjak melebihi 100,000 orang dan angka tersebut dijangka meningkat dari masa ke semasa,” kata Dr Wan Azizah.

“Pengangguran adalah fenomena yang jika gagal diatasi dengan efisyen bakal meletakkan negara ini ke kancah yang lebih mudarat, justeru PKR sentiasa meletakkan kebajikan golongan pekerja sebagai keutamaan dalam dasar parti,” tambah beliau lagi.

Kerajaan Pusat diseru supaya menuruti langkah kerajaan Selangor menyediakan mekanisma khusus bagi mengatasi fenomena pengangguran.

Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat menyediakan portal Selangor Retrenchment Helpline (SRH) yang mengumpulkan data terperinci pengangguran di negeri tersebut bagi menyediakan pelan-pelan bantuan kepada penganggur.

“PKR mendesak agar Kerajaan Persekutuan turut melaksanakan sistem ini dengan memusatkan data pengangguran dan menawarkan perkhidmatan cari kerja kepada pekerja yang hilang pekerjaan,” kata Dr Wan Azizah.

“Kita juga mendesak diwujudkan Tabung Bantuan Penangguran melalui dana Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilancarkan; dan memperkenalkan kadar gaji minima golongan pekerja kepada sekurang-kurangnya pada kadar RM1000 sebulan,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: