Sabtu, 9 Mei 2009

Dadah RM254 juta dirampas

Oleh ZAMZURINA AHMAD


KUANTAN - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 30-an ditahan berhubung kes rampasan dadah terbesar negara bernilai RM254 juta di Jalan Cenderawasih, Rompin, Sabtu lalu.

Datuk tersebut yang merupakan suspek keempat kes itu ditahan di rumahnya di Taman Kempas, Johor Bahru, kira-kira pukul 1 petang kelmarin.

Polis turut menyita semua aset milik Datuk berkenaan termasuk wang di dalam akaun berjumlah RM2.6 juta.

Selain itu, polis turut melancarkan gerakan bagi memburu seorang lagi dikenali sebagai Lim Han Choo @ Ah Chiau, 55, dengan alamat terakhirnya di Taman Sentosa, Klang, Selangor, bagi menyelesaikan kes tersebut.

Timbalan Pengarah 1, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata, setakat ini polis menahan empat suspek utama kes itu, termasuk Datuk berkenaan yang kesemuanya berusia antara 30 dan 50 tahun.

Beliau berkata, dalam kes tersebut polis merampas 978 kilogram dadah jenis syabu pada pukul 6.45 pagi Sabtu lalu, dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan laut.

''Dadah itu dipercayai hendak dipindahkan ke dalam sebuah lori jenis Mitsubishi Center di kawasan perairan Rompin,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani; Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supritendan Yap Toon Khuan dan Pegawai Turus Risikan Narkotik negeri, Asisten Superitendan S. Xavier.

Isnin lalu, akhbar melaporkan polis menahan tiga lelaki dan merampas sebuah kontena berisi 10 tong ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat lebih 900 kilogram di sebuah kawasan di Rompin, kira-kira pukul 6 pagi.

Menurut Othman, ketika pemeriksaan dijalankan, seorang suspek menyembur alat pemedih mata kepada anggota polis dan turut menawarkan rasuah sebanyak RM500,000 kepada seorang anggota berpangkat Konstabel.

''Bagaimanapun, tindakan mereka tidak berjaya menghalang pihak polis daripada menahan dan menjalankan siasatan.

''Pemeriksaan ke atas lori terbabit telah menemui 96 kotak mengandungi kesemuanya 480 peket plastik berisi serbuk putih dan ketulan jernih disyaki syabu dianggarkan seberat 978 kilogram iaitu hampir satu tan,'' ujarnya.

Beliau berkata, bagi mengabui pihak berkuasa, penyeludup terbabit menggunakan 80 tong plastik berwarna kuning untuk melindungi dadah tersebut.

''Polis percaya sindiket itu mempunyai makmal memproses dadah terbesar di luar negara kerana sebelum ini, makmal yang pernah diserbu di negara ini seperti di Lunas dan Semenyih hanya berkemampuan memproses tidak sampai 500 kilogram dadah,'' jelasnya.

Tiada ulasan: