Sabtu, 9 Mei 2009

Betapa takutnya Najib dengan 'badi' pilihan raya kecil

Adnan Ibrahim


Pilihan raya kecil suatu yang cukup menggerunkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Ini kerana terdapat badi dalam pilihan raya kecil yang amat menghantui Najib. Badi kekalahan yang sukar diterima Barisan Nasional (BN).

Selain itu terdapat badi jelmaan yang menakutkan pejabat perdana menteri sehingga terpaksa mengarahkan polis menangkap beberapa orang yang sedang mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran Altantuya Shaaribuu ke-31 di depan pejabat tersebut di Putrajaya.

Apa kena mengena Altantuya dengan pejabat perdana menteri sehingga mengarahkan polis menangkap kumpulan tersebut. Kalau kumpulan sambut harijadi ini tidak dilayan sekalipun, tanggapan ramai sudah tentu menganggap mereka ini gila.

Apakah betul kumpulan itu, orang sudah mati disambut hari ulang tahun kelahiran? Ini mesti kerja orang gila. Ada yang kata kalau dilayan orang gila kita juga yang gila.

Tiga pemuda yang ditahan iaitu Yasir Sheikh Abdul Rahman, Saufi Mihat dan Sani Md Shah dibebaskan dengan jaminan polis daerah Putrajaya, tempat mereka ditahan, kira-kira jam 11.15 semalam selepas 24 jam di lokap. Selain tiga orang aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu, turut disiasat pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin yang mengepalai perkumpulan tersebut dan temannya Nor Azizi Abdul Aziz di ibu pejabat polis daerah berkenaan.

Badrul Hisham memberitahu, ketiga mereka dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan. Katanya: �Dalam tempoh tersebut, mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis."

Itu satu kisah 'hantu' yang cukup menakutkan pejabat perdana menteri. Kisah kedua 'badi' pilihan raya kecil yang seolah-olah bertimpa-timpa atas kepala perdana menteri. Bagaimanapun Najib mengambil beberapa pendekatan bagi mengelak berlakunya pilihan raya kecil.

Masih ingat tidak lagi tentang perancangan mahu menggagalkan pilihan raya kecil di Penanti. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba-tiba bertindak awal mengumumkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin tidak bersalah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengambil masa lama untuk mengumumkan kekosongan kerusi tersebut dengan harapan Fairus menarik balik perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti.

Bagaimanapun Najib tetap menerima nasib malang, gagal menyekat kemaraan 'badi' pilihan raya kecil yang terpaksa diadakan juga pada 31 Mei ini. Namun begitu harapan Najib agak cerah bagi mengelak badi pilihan raya kecil berulang selepas Penanti. Isu Adun Bukit Lanjang, Elizebeth Wong tidak dibesarkan bagi mengelak badi bertimpa ke atas beliau.

Najib juga terpaksa berfikir panjang dan mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein melepaskan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan di bawah tahanan Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA). Sebelum ini Manoharan memberitahu beliau akan meletak jawatan Adun kerana tidak berfungsi sebagai wakil rakyat selagi berada dalam tahanan ISA. Ternyata cara Manoharan berkesan kerana Najib amat perit dengan 'badi' pilihan raya kecil.

Akhirnya Hishamuddin hari ini, mengumumkan tiga pemimpin Hindraf yang masih berada di kem tahanan Kamunting, bersama 10 yang lain akan dibebaskan daripada kurungan ISA.

Beliau membuat pengumuman demikian di sidang media khas di Putrajaya sebentar tadi. Tiga pemimpin itu termasuk Manoharan, dan penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar.

Dalam masa Najib gagal mengatasi masalah supaya tidak berlakunya pilihan raya kecil di Penanti, beliau turut tertekan dengan kemungkinan pilihan raya kecil di Bukit Lanjang apabila Adunnya, Elizebeth Wong mahu meletak jawatan berikutan tersebarnya gambar beliau sedang tidur di internet.

Pada mulanya bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo cuba mengambil kesempatan daripada isu itu dan memainkan peranan bagi menjatuhkan Adun tersebut tetapi selepas itu beliau membisu seribu bahasa akibat tekanan pihak atasan yang tidak mahu melihat pilihan raya kecil.

Namun begitu, sejak akhir ini ada usaha laman maya tertentu yang pro Umno cuba membangkit semula isu Eli tersebut. Bagaimanapun melihat daripada ketakutan Najib dengan badi pilihan raya kecil kemungkinan laman tersebut akan turut diberi peringatan.

Kalau Khir sudah tidak berani menjatuhkan Adun Bukit Lanjang, apakah laman tersebut bersedia untuk bertanggungjawab sekiranya berlaku pilihan raya kecil di Bukit Lanjang yang badinya amat menakutkan Najib? - mns _

Tiada ulasan: