Rabu, 15 April 2009

Tidak ikut akta buang pekerja tanpa notis, pampasan

Mohd Sabri Said


PERAI - Kesan daripada kegagalan Kementerian Sumber Manusia untuk membentuk undang-undang menjamin pembuangan pekerja oleh majikan menyebabkan kejadian membabitkan pekerja tempatan makin menjadi-jadi, kata Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang, Abdul Razak Ahmad.

Tambahnya, ekoran daripada itu kebanyakan majikan tidak langsung mengikut saluran betul melakukan tindakan di luar batasan sehingga ada yang bersikap membelakangkan beberapa akta antaranya tidak memberikan notis sebulan kepada Pejabat Buruh seandainya majikan hendak berbuat demikian.

"Kali ini kita berharap Menteri Sumber Manusia bersikap tegas bukan main-main untuk memastikan pekerja tidak diperbudakkan dalam isu ini.

"Jika kementerian gagal bererti semua pekerja di sektor industri terdedah dengan pembuangan pada bila-bila masa terutamanya industri yang tiada Kesatuan Sekerja, " jelasnya ketika ditemui selepas memberikan taklimat kepada 33 orang pekerja Advanced Ceramics Technology (M) Sdn Bhd yang dibuang baru-baru ini.

Jelas beliau lagi banyak sektor indutri tidak langsung mengikut lunas-lunas perundangan bila mana membuang pekerja malah 'ikut sedap rasa' mereka sahaja sedangkan jelas termaktub dalam etika majikan seperti pemberian pampasan mesti diberi bukan bertindak membuat perkiraan tanpa pengetahuan pekerja.

MTUC akan membantu nasib 33 orang yang mengalami masalah itu dengan membuat laporan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan ekoran pembuangan yang tidak munasabah.

"Dalam surat majikan kepada pekerja yang dibuat syarikat berkenaan bukan tenat dari sektor ekonomi tetapi kerana lebihan pekerja. Yang peliknya, kenapa bila alasan lebihan pekerja pihak majikan tidak pula membuang pekerja baru, " tegasnya.

Justeru itu, MTUC berharap Kementerian Sumber Manusia menyenarai hitamkan mana-mana syarikat yang memperlakukan tindakan tersebut seolah-olah Malaysia ketandusan undang-undang berkaitan buruh.

Suhaimi Marzuki 37 ketika ditemui Harakahdaily menyifatkan pembuangan mereka tidak sah kerana majikan tidak langsung mengikut lunas-lunas yang ada sebaliknya mengikut cita rasa majikan semata-mata.

Lagipun katanya, pihak majikan mengeluarkan surat pemberhentian dalam masa singkat tanpa notis sebulan kepada Pejabat Buruh bahawa majikan berniat untuk mengurang atau membuang pekerja.

"Negara kita ada undang-undang yang wajar di patuhi bukan negara 'koboi', " terangnya.

Sementara itu, Asmawi Romli, 37, berasa kesal pihak majikan tidak membuang pekerja baru sebaliknya membuang pekerja lama yang sudah ada pengalaman luas melaksanakan kerja di kilang berkenaan.Kemungkinan katanya, majikan cuba mengelak daripada membayar gaji yang banyak kepada pekerja lama dengan bertindak luas batasan.

"Saya difahamkan syarikat bukan dalam keadaan tenat malah berbuat demikian ekoran lebihan pekerja. Jika berlaku macam tu buanglah pekerja baru, ini tidak majikan membiarkan pekerja baru mengantikan pekerja lama, " jelasnya yang bekerja selama 16 tahun di situ.

Sementara itu, Puan Azura Hanim Ahmad 35 pula menyalahkan majikan kerana sanggup menghalau pekerja bagaikan kambing keluar kandang apabila bertindak memberikan surat perberhentian pada sebelah petang sebelum waktu pulang tanpa perbincangan.

Walhal sebelum ini berlaku terhadap 10 orang yang dibuang majikan yang sama, boleh pula berbincang dan memberi masa berfikir sehingga berjaya memperolehi pampasan yang lebih tinggi.

"Kali ini pihak majikan tidak memberi masa berbincang malahan bertindak seolah menghalau kambing keluar kandang padahal pada lima bulan lepas mereka boleh berbincang dengan pekerja yang menerima nasib yang sama malahan memberikan mereka tambahan pampasan, " tambahnya yang mempunyai dua cahaya mata.

Advanced Ceramics Techkology (M) Sdn Bhd merupakan kilang terbaru yang bertindak membuang pekerja di Pulau Pinang yang mana pampasan yang diterima pekerja adalah antara RM3,500 - RM40,000.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Setiausaha MYUC Pulau Pinang, Viraya dan Pegawai Perhubungan Perusahaan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Musa Abdullah. - azm/mks.

Tiada ulasan: