Ahad, 19 April 2009

Terpulang akar umbi calonkan Ketua Pemuda PAS baru

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Kini terpulang kepada akar umbi untuk membuat pilihan siapa yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak akan memberi garis panduan ciri-ciri yang perlu ada pada Ketua Pemuda kerana bimbang akan menjadi petunjuk terhadap siapa yang sepatutnya menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian mengisytiharkan pada 15 Febuari lalu tidak akan mempertahankan jawatan yang disandang sebelum ini.

Menurutnya dalam PAS tiada kumpulan atau bersikap berpuak-puak dan propaganda seperti yang dimainkan akhbar harian dan ia amat tidak berasas.

"Setiap kali ada pertandingan dalam PAS, isu yang sama dimainkan pihak tertentu dengan menggambarkan seolah-olah ada kumpulan atau team, sedangkan kami hanyalah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Kami bukannya seperti Umno yang sering dikaitkan dengan politik wang," ujar beliau ketika ditemui di mesyuarat PAS Kubang Kerian di Sekolah Menengah Ugama Taqaddum Maarif, semalam.

Menyentuh mengenai pencalonannya sebagai Naib Presiden PAS beliau berkata, ia terpulang kepada kawasan dan beliau akan membuat keputusan setelah sampai masanya.

"Walaupun muktamar kali ini akan ada pemilihan, ia adalah perkara biasa dalam mana-mana pertubuhan dan PAS juga tidak ketinggalan dalam era pertandingan ini, namun ia merupakan pemilihan yang sihat tanpa melibatkan politik wang atau pun melobi untuk dicalonkan," katanya._

Tiada ulasan: