Jumaat, 24 April 2009

Tangguh projek Syabas: 30,000 dijangka hilang kerja

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Persatuan Kontraktor Air Selangor merayu kepada Kerajaan Persekutuan dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya menimbang semula arahan pembekuan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di negeri ini.

Ahli jawatankuasa persatuan tersebut, Zulfihar Abd Rahim berkata, penangguhan tersebut akan menyebabkan ramai kontraktor hilang punca pendapatan kerana mereka banyak bergantung pada projek-projek Syabas untuk beroperasi.

“Dijangka lebih 600 kontraktor berdaftar dengan Syabas dan seramai 20,000 hingga 30,000 pekerja yang hampir keseluruhannya rakyat negeri ini akan berdepan dengan situasi sukar ekoran penangguhan kerja-kerja tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang dibuat sejurus pengumuman pembekuan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air oleh Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail disiarkan semalam.

:Rozali dalam kenyataanny:a memberitahu, keseluruhan projek yang bernilai RM2.6 bilion itu dibekukan kerana mendapat arahan Kerajaan Persekutuan dan pihaknya akan memaklumkan senarai terperinci projek yang dibekukan itu kepada orang ramai menerusi iklan dalam akhbar tempatan, poster dan risalah.

Zulfihar berkata, RM2.6 bilion merupakan jumlah yang besar dan satu-satunya peluang bagi kontraktor untuk menjana pendapatan terutama kontraktor Bumiputera yang banyak bergantung pada projek-projek yang diperuntukkan Syabas.

“Kami akan mengalami kerugian besar dan berkemungkinan akan terus gulung tikar jika perkara ini berlanjutan.

“Bagi kontraktor-kontraktor yang menggaji-pekerja mahir dalam bidang kerja paip, berkemungkinan menghadapi risiko membuang pekerja dan hanya mengharapkan kerja-kerja kecil baik pulih paip-paip bocor dan pecah sahaja,” katanya.

Pihaknya juga mendapati senarai-projek yang digantung tersebut melibatkan kontrak yang telah diberikan kepada sebahagian ahli persatuan dan yang akan ditawarkan kepada kontraktor berkelayakan tetapi masih belum disahkan pihak Syabas.

Menurutnya, isu berkenaan seolah-olah cuba dipolitikkan pihak tertentu ketika berlakunya kemelut penyusunan semula sektor pengurusan air di negeri ini.

“Saya harap isu ini tidak dipolitikkan kerana ia melibatkan ramai pekerja khususnya rakyat negeri ini yang akan menderita kerana kehilangan pekerjaan,” katanya.

Tiada ulasan: