Selasa, 7 April 2009

SPR sengaja susun prosedur pengundian memihak BN

MALAYSIA TODAY


Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang jelas tidak profesional dan sengaja menyusun prosedur-prosedur pengundian untuk memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Beliau menegaskan demikian sebagai merujuk kepada tindakan SPR tidak meletakkan nombor giliran pada kertas undi bagi Pilihan Raya Kecil N.25 Dun Bukit Selambau.

"Ini jelas SPR bersekongkol dan menerima arahan daari penasihat-penasihat BN. Ini tidak konsisten kerana di Bukit Gantang dan Batang Ai susunannya berbeza dan setahu saya nombor giliran akan dicetak dalam kertas undi dalam dua pilihan raya lain.

"Kenapa (di sini) yang begitu ramai calon, yang boleh mengelirukan pengundi, tidak diletakkan nombor? Bukan sahaja calon kita tetapi calon-calon Bebas juga akan hadapi masalah.

"Tidak ada maknanya kita cabut undi dan nombor itu tidak diguna pakai selepas kita cabut undi," ujarnya pada sidang media di Yayasan Aman, semalam.

Ujarnya, penyusunan nama calon dan logo juga tidak mengikut kebiasaan untuk menghitung iaitu secara hitungan dari atas ke bawah. Sebaliknya dakwa Tian, penyusunan untuk kertas undi Dun Bukit Selambau bagi pilihan raya kecil ini dibuat secara melintang.

Jelas beliau, perkara itu akan mengelirukan pengundi sekiranya mereka hanya ingat nombor calon dan akan menyebabkan salah memangkah.

"Ini sangat serius dan kita telah hubungi peguam kita dan kita tidak menolak ada kemungkinan mengambil tindakan mahkamah kepada SPR.

"Walaupun ini tidak akan menukar atau mengubah keputusan pilihan raya pada peringkat ini, tetapi secara prinsip kami percaya SPR harus dipertanggungjawabkan dan kita tidak boleh membenarkan satu institusi yang berkecuali dari mula pengambil alihan Perdana Menteri baru sudah dicemar dengan pelbagai penyelewengan dan dakwaan tidak telus serta tidak profesional.
"Kekhuatiran kita ialah jika ini berterusan kita jangan harap Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan dalam suasana aman, profesional dan bersih. Ini ada tanda-tanda manipulasi untuk membantu atau menjamin kemenangan BN," tegasnya.

Tiada ulasan: