Jumaat, 24 April 2009

Pemimpin rasuah perlu disingkir: Tun Mahathir

SINAR HARIAN ONLINE


CYBERJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, terdapat beberapa pemimpin dalam senarai Kabinet baru tidak layak berada di jawatan tersebut kerana terlibat dengan rasuah.

Namun apabila ditanya oleh wartawan siapakah menteri terbabit, bekas Perdana Menteri itu enggan mendedahkan individu yang dimaksudkan tersebut.

Beliau turut menyifatkan bahawa cadangan beliau untuk Barisan Nasional (BN) meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti adalah pandangan peribadi beliau sendiri sahaja.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak membuat keputusan dan beliau tidak campur tangan dalam pentadbiran negara.

“Beliau (Najib) tidak terikat sama sekali dengan saya, contohnya dalam pemilihan Kabinet baru, ada antara menteri yang dilantik merupakan menteri yang tidak sepatutnya memegang jawatan tersebut kerana terlibat dengan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Siri Ceramah Kepimpinan Malaysia MSC bertajuk ‘The MSC and Leadership in the Information Age’ di sini, semalam.

Menurutnya, beliau tidak dirujuk bagi sebarang isu dan kerajaan bebas untuk membuat apa-apa keputusan.

“Saya tidak dirujuk bagi setiap isu. Pada hakikatnya, saya sebenarnya tidak dirujuk. Hanya satu cara saya boleh cadangkan mengenai idea saya ialah dengan menjawab soalan daripada media dan menulis dalam blog.

“Jika anda bertanya kepada saya, saya terpaksa jawab dan mungkin jawapan saya tidak sama seperti apa yang difikirkan oleh Perdana Menteri.

"Tetapi ini tidak bermakna bahawa saya membantah kepada beliau. Beliau ada hak untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut menafikan akan mengetuai kempen di Penanti dan hanya mengatakan bahawa BN hendaklah bertanding pada pilihan raya kecil negeri itu.

“Itu sahaja. Saya tidak mengatakan saya tawar diri untuk mengetuai kempen, menurut akhbar,” katanya.

Mengenai kos yang tinggi untuk mengadakan pilihan raya antara sebab BN mungkin tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu, katanya itu adalah sebab-sebab yang munasabah tetapi ini semua bergantung kepada parti.

“Ini pandangan saya (untuk bertanding). Saya bukanlah yang memutuskan semua ini. Jika anda menanyakan kepada saya, Saya beri pandangan saya. Itu sahaja, anda tidak perlu mengikut saya,” katanya.

Tiada ulasan: