Rabu, 22 April 2009

Kes rasuah bekas Ketua Pemuda Umno Norza disebut semula 14 Mei

MSTAR ONLINE


TEMERLOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 14 Mei untuk menyebut semula kes rasuah yang membabitkan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Hakim Azhar Che Yusof menetapkan tarikh berkenaan bagi menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara mempertimbangkan surat cadangan perbicaraan yang dihantar peguambela tertuduh.

Mohamad Norza diwakili Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut Peguam Jahaberdeen Mohd Yunoos yang mewakili Muhammad Shafee hari ini, surat cadangan perbicaraan kes itu telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 4 April lepas untuk mempertimbangkan beberapa perkara dalam kes berkenaan.

Pada 13 Mac lepas, Mohamad Norza dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan pada pemilihan parti akhir bulan lepas.

Mohamad Norza, 43, didakwa melakukan perbuatan itu di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini, pada 20 Januari lepas, 6.30 petang.

Beliau didakwa secara rasuah telah memberikan kepada Khadri Musa melalui Halimi Kamaruzzaman suatu suapan wang tunai RM1,500 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggotaanggota perwakilan yang boleh membantu mengundi beliau untuk memenangi jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Bagi tuduhan kedua, beliau didakwa memberikan suatu suapan wang tunai RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus, juga melalui Halimi, untuk tujuan, tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, manamana lebih tinggi.BERNAMA

Tiada ulasan: