Selasa, 14 April 2009

Jawatankuasa Kabinet bakal dikurangkan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kabinet yang kini terlalu banyak akan distruktur semula supaya bilangannya diperkecilkan bagi membolehkan urusan-urusan lain negara diberikan lebih perhatian.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini hampir tiga atau empat mesyuarat Jawatankuasa Kabinet berlangsung setiap minggu dan ia sebenarnya boleh dikurangkan.

Jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengannya baru-baru ini memberitahu, bagi melicinkan pentadbiran dan memastikan setiap perkara yang ditetapkan di bawah Jawatankuasa Kabinet dilaksanakan, maka jawatankuasa yang ada kaitan antara satu sama lain mungkin diletakkan sebagai satu rangkaian.

"Saya jumpa Perdana Menteri beberapa hari lalu, beberapa perkara dimaklumkan kepada saya kerana kami berkerja rapat sebagai satu gandingan yang mantap.

"Jumlah Jawatankuasa Kabinet agak banyak, semuanya penting tetapi untuk melicinkan pentadbiran dan memastikan setiap perkara dilaksanakan, Perdana Menteri maklumkan kemungkinan diletak beberapa jawatankuasa yang berkaitan antara satu sama lain dalam bentuk 'cluster'... katalah yang ekonomi satu, sosial satu, mungkin lain bidang," katanya.

Beliau berkata, selepas perubahan dari segi bilangan, sebahagian jawatankuasa akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan sebahagian lagi oleh beliau sendiri.

Katanya, langkah pengecilan jawatankuasa-jawatankuasa Kabinet akan memastikan pentadbiran negara menjadi lebih efisien dan mantap.

Tiada ulasan: