Khamis, 16 April 2009

Jangan guna nama saya untuk promosi

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu nama dan gambarnya diletakkan pada poster untuk mempromosi mana-mana acara kementerian atau agensi-agensi kerajaan.

Beliau mahu amalan menggandingkan gambar Perdana Menteri dengan menteri-menteri untuk tujuan promosi dihentikan, kerana ini sudah tidak sesuai dan boleh mendatangkan tanggapan tidak baik di kalangan rakyat.

“Sebagai contoh, sekiranya ada kempen pelancongan untuk Langkawi, jangan pakai gambar saya dan menteri berkenaan pada poster kempen tersebut,” katanya kepada pemberita.

Beliau mengingatkan seluruh anggota jemaah menteri supaya menggunakan pendekatan berbeza dalam mendekati dan memenuhi harapan rakyat.

Dalam mesyuarat pertama Kabinet barunya semalam beliau mahu semua menteri dan timbalan menteri turun ke padang untuk membuktikan mereka benar-benar ‘mesra rakyat’.

“Saya memberitahu mesyuarat bahawa rakyat sekarang lebih kritikal, jadi anggota Kabinet perlu berubah sikap untuk dalam melaksanakan kehendak rakyat,” kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet semalam.

Menurut Perdana Menteri, dalam melaksanakan tugas seharian Kabinetnya tidak akan memihak kepada mana-mana kumpulan atau korporat tertentu, sebaliknya akan melakukan yang terbaik kepada semua tanpa mengira kaum.

“Sebagai contoh dalam pembahagian rumah PPRT kita akan mengambil kira kaum-kaum lain termasuk rakyat miskin di Sabah dan Sarawak.

“Tetapi ini tidak sama sekali bermakna kita mengenepikan dasar membantu kaum Bumiputera, kerana apa yang penting ialah kita membantu mereka yang betul-betul layak menerima bantuan,” katanya.

Ditanya mengenai KPI yang akan dilaksanakan ke atas anggota Kabinet, beliau berkata pihak Khazanah telah diberi tanggungjawab untuk menyiapkan rangka dan perincian mengenai KPI dalam tempoh sebulan.

“KPI akan membantu menteri dan timbalan menteri untuk melaksanakan tugas seperti tahap yang kita kehendaki, berdasarkan piawaian yang munasabah dan tidak menekan, saya percaya mereka yang terlibat mampu mencapai tahap tersebut.

“Mereka (anggota Kabinet) mesti serius dan tahu mereka dinilai berdasarkan prestasi. KPI bukan setakat pemantauan, tetapi juga untuk membantu mereka,” katanya.

Mengenai pengisytiharan harta menteri dan timbalan menteri, Najib berkata, pihaknya sedang menunggu borang yang disediakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang siap dalam masa terdekat.

“Semua kena isytihar harta, tidak ada kekecualian,” katanya.

Tiada ulasan: