Sabtu, 18 April 2009

DUN Perak bersidang 7 Mei

MSTAR ONLINE


IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan bersidang pada 7 Mei ini, kata Setiausahanya Abdullah Antong Sabri hari ini.

Abdullah turut mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada tarikh itu kepada semua anggota DUN mulai hari ini.

"Itu (mengeluarkan notis) adalah tugas saya dan ia dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang ada," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.

Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 November 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu, maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihan raya bagi DUN perlu diadakan.

Exco Kanan kerajaan negeri Hamidah Osman, yang juga merupakan ADUN Sungai Rapat, ketika dihubungi mengesahkan menerima notis untuk bersidang hari ini.

"Saya akan hadir kerana ia dibuat mengikut peraturan dan telah mendapat perkenan daripada Sultan Perak," katanya.

Datuk Ramly Zahari, yang merupakan seorang lagi Exco kerajaan negeri dan ADUN Manong, juga mengesahkan menerima notis berkenaan pada tengah hari ini.

"Ya, saya terima notis yang ditandatangani oleh Setiausaha Dewan tengah hari tadi. Jadi 7 Mei ini kita akan bersidang sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi.

Tiada ulasan: