Jumaat, 3 April 2009

Anwar bimbang tindakan keras PM baru

Abdul Rahim Sabri


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil tindakan keras terhadap Pakatan Rakyat dan mengenetapikan prinsip dan hak asasi.

Sehubungan itu, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, sebagai perdana menteri, Najib diharap bersikap lebih terbuka untuk membuat pembaharuan, termasuk membebaskan tahanan ISA tanpa syarat serta mereka yang disyaki anggota JI serta pemimpin Hindraf.

Beliau juga mendesak agar kerajaan melepaskan kongkongan dan penggantungan akhbar parti PAS dan PKR - Harakah dan Suara Keadilan - untuk diedarkan kepada rakyat.

Ditanya mengenai pelantikan Najib sebagai perdana menteri hari ini, Anwar berkata pendirian kepimpinan PAS, DAP dan PKR termaktub dalam petisyen yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong kelmarin.

Dalam petisyen yang ditandatangani oleh 81 ahli Parlimen Pakatan itu, memohon Yang di-Pertuan Agong menunda majlis tersebut sehingga satu suruhajaya bebas dibentuk untuk membersihkan Najib daripada sebarang dakwaan salah laku - antara yang popular, berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu dan komisyen pembelian kapal selam Scorpene.

Anwar memberitahu pemberita demikian sewaktu membuat lawatan ke kampung Kuala Sin di Bukit Selambau, yang terletak kira-kira 33km dari bandar Sungai Petani.

Sebelum itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, bersembahyang Jumaat di Masjid al-Husna dan kemudiannya menikmati jamuan makan tengahari di rumah seorang penyokong PKR di situ.

Calon untuk semua

Turut hadir ialah calon PKR, S Manikumar serta kira-kira 100 orang penyokong. Beberapa pemimpin tertinggi PKR turut hadir, termasuk Naib Presiden Azmin Ali, Ketua Penerangan Tian Chua, pegawai strategik PKR, Saifudin Nasution dan exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Sivakumar.

Sebelum makan tengahari, Anwar dalam ucapannya meminta para pengundi memberi peluang kepada Manikumar untuk berkhidmat kepada penduduk Bukit Selambau.

Menurutnya, Manikumar bukan sahaja calon untuk orang India, tetapi juga untuk orang Melayu dan Cina.

Anwar berkata, beliau sendiri juga bukan sahaja menjaga hak orang Melayu tetapi turut mempertahankan hak orang bukan Islam.

"Berhijrahlah dari takuk lama kepada perubahan," katanya.

Di Perak, katanya, apabila Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memberi hakmilik tanah kepada penduduk Cina, beliau dituduh 'khianat' kepada orang Melayu.

"Tetapi mereka (BN) beri satu gunung tak pa... bagi satu pulau (Pangkur) tak pa... beri tanah di Bukit Tinggi, dia godam setengah mati," tambahnya.

Mohd Nizar bertanding sebagai calon Pakatan dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Tiada ulasan: