PETALING JAYA: Status perjalanan musim haji tahun ini akan diumumkan minggu depan sama ada ia diteruskan atau dibatalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan Tabung Haji dan ia akan dibentang ke mesyuarat Kabinet sebelum dipersembahkan kepada Agong.
“Mesyuarat berkenaan status jemaah haji telah diadakan baru-baru ini bersama Tabung Haji sebagai penyelaras jemaah haji di Malaysia.
“Hasil mesyuarat tersebut akan dibentangkan dalam Kabinet kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, keputusan perbincangan akan diumum pada minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Sebelum ini Zulkifli berkata, status perjalanan musim haji tahun ini akan diperincikan selepas mengadakan kunjungan hormat di Kedutaan Arab Saudi.
Semalam, Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mengumumkan tidak akan membenarkan jemaah dari negara itu untuk menunaikan ibadah haji di Arab Saudi pada tahun ini di tengah-tengah Covid-19.
Menterinya, Fachrul Razi berkata, keputusan itu dibuat kerana wabak masih melanda di hampir seluruh dunia termasuk Indonesia dan Arab Saudi.
“Pembatalan keberangkatan jemaah haji melibatkan semua rakyat tanpa pengecualian termasuk mereka yang menggunakan kuota haji biasa dan khas serta undangan visa haji mujamalah atau furada iaitu visa khusus yang dikeluarkan oleh pihak Arab Saudi,” katanya.
Meskipun musim haji semakin hampir, Arab Saudi sehingga kini masih belum membuka akses bagi jemaah dari mana-mana negara, sedangkan ia memerlukan banyak persiapan selain mengambil masa yang panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan