Kerajaan
membenarkan semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan
(WP) berstatus zon hijau menunaikan solat Jumaat dan berjemaah ketika
tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dengan kapasiti
jemaah diluaskan kepada satu pertiga daripada kapasiti penuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad berkata, perkara itu diputuskan selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengangkat sembah cadangan Garis Panduan Perluasan Kapasiti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) di Wilayah Persekutuan.
"Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah menzahirkan titah perkenan bagi cadangan tersebut.
"Bagi Wilayah Persekutuan, semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan satu pertiga daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama.
"Ini bermula dengan solat Jumaat pada 12 Jun 2020 bersamaan 20 Syawal 1441H.
"Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau juga boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat.
“Sistem penggiliran atau apa-apa cara yang sesuai pada hemat jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh dilaksanakan bagi memberi peluang kepada anak kariah lain untuk hadir.
“Kapasiti akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
Selain itu, Zulkifli juga mengumumkan bahawa muslimah dibenarkan ke masjid dan surau dengan syarat ditemani mahram.
Bagi warga emas pula, tidak ada had umur ditetapkan, namun perlu memiliki kesihatan yang baik.
Bagaimanapun, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan jemaah yang bergejala serta menghidap penyakit kronik, masih tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau buat masa ini.
“Masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan ‘rider’ perkhidmatan e-hailing.
“Kuliah Maghrib dan kuliah Subuh boleh dijalankan semula dengan mematuhi beberapa syarat, iaitu kuliah Maghrib dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isya.
“Manakala kuliah Subuh boleh berlangsung sekitar 20 hingga 30 minit sahaja. Saya juga ingin mengingatkan jawatankuasa masjid, surau Jumaat dan surau bahawa jamuan makan selepas kuliah adalah tidak dibenarkan pada masa ini,” katanya.
Penjarakan sosial
Zulkfili turut mengingatkan jemaah yang akan menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid dan surau untuk melaksanakan penjarakan sosial di dalam dan di luar masjid, dengan jarak sejauh 1 meter antara satu sama lain.
“Jemaah wajib memakai pelitup muka. Semua ahli jemaah
hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing
sebelum hadir ke masjid.
"Jika wuduk terbatal, anda dibolehkan untuk mengambil wuduk di pili air ditetapkan sahaja. Penggunaan kolah tidak dibenarkan.
“Jemaah juga perlu terus bersurai dalam keadaan tenang serta tidak bersalaman dan bersentuhan sepanjang berada di masjid, surau Jumaat dan surau. Bahkan tidak ada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat, sama ada di dalam atau di luar masjid,” katanya.
Jelasnya lagi, pihak berkuasa agama negeri turut diminta mengambil serius beberapa perkara seperti mewujudkan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah.
“Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat. Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa.
“Bahkan kehadiran hendaklah direkodkan di dalam buku kehadiran atau aplikasi yang disediakan pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau.
“Bukan itu sahaja, pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan,” katanya.
Bukan warganegara akan dibenarkan sikit masa lagi
Sementara itu, Zulkifli sekali lagi menggunakan nama gelaran 'Pok De dan Mok De' bagi menyampaikan nasihat.
Namun, kali ini Zulkifli meminta Mok De mengingatkan Pok De bahawa kuliah Subuh dan Maghrib kini telah mula diadakan kembali di surau-surau dan masjid.
"Sepanjang tempoh PKP dan PKPB, mungkin Pok De memenuhi masa lapang dengan mendengar ceramah saya melalui Spotify dan Youtube.
"Mok De boleh ingatkan Pok De yang Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh telah mula diadakan kembali.
"Selesai solat, Pok De dan Mok De bolehlah bersedekah barang seringgit dua bagi tabung masjid. Moga-moga berkat hidup Pok De sekeluarga," katanya lagi.
Menyentuh soal kebenaran bersolat bagi bukan warganegara, Zulkifli memberi jaminan bahawa mereka akan dapat mengimarahkan masjid dan surau di negera ini sedikit masa lagi.
"Bagi bukan warganegara, sejujurnya saya amat mengasihi anda semua. Tidak ada kasta dan darjat yang memisahkan manusia dalam Islam.
"Bagi pihak kerajaan Malaysia, tidak ada sekelumit pun niat dalam hati kami untuk menidakkan hak anda untuk beribadah bersama-sama kami di rumah Allah SWT.
"Bukan warganegara tetap saudara seagama yang berpayung di bawah kalimah syahadah yang sama. Buktinya, lihatlah selama ini sebelum adanya wabak Covid-19.
"Bukan warganegara bebas untuk beribadah di mana-mana masjid, surau Jumaat dan surau. Sebagaimana yang saya telah tegaskan, kebenaran pembukaan masjid, surau Jumaat dan surau ini adalah secara berperingkat bermula 15 Mei 2020 tempoh hari. Insya-Allah, sedikit masa lagi kita akan dapat sama-sama mengimarahkannya," tambahanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan