HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan kalah
sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut diteruskan berdasarkan kajian
mendapati tahap sokongan kepada PH didapati lebih rendah berbanding PN.
Menurut
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute
(TSIS), Dr Wan Mat Sulaiman, analisis tersebut dibuat berdasarkan kaji
selidik firma Emir Research yang menggunakan 2,002 responden dari
seluruh negara.
Melalui kajian yang dijalankan, tahap sokongan responden kepada PH hanyalah 30 peratus berbanding tahap sokongan responden kepada Muafakat Nasional (MN) iaitu 52 peratus.
Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh 55 peratus responden adalah mereka tidak pasti apakah hala tuju negara berada pada landasan yang betul dibawah pemerintahan PH.
Selain itu, 25 peratus dari responden berpendapat hala tuju negara di bawah PH berada dalam landasan yang salah.
Manakala, 36 peratus dari responden berpendapat ekonomi negara di bawah pemerintahan PH tidak berada pada tapak yang kukuh, dan 45 peratus tidak menyokong alasan tersebut.
Mengulas lanjut, menurut Dr Wan Mat, antara faktor-faktor yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap PH adalah persepsi negatif rakyat sendiri terhadap yang dilihat tidak mampu menyelesaikan isu-isu perkauman, keagamaan, isu pendidikan serta masalah ekonomi.
Ini dikukuhkan dengan bukti bahawa, 67 peratus atau 972 daripada keseluruhan responden tidak berpuas hati dengan kemampuan PH menyelesaikan isu-isu perkauman dan keagamaan berbanding 25 peratus responden yang berpuas hati.
Dalam kajian sama, 63 peratus responden tidak berpuas hati dengan kemampuan PH menyelesaikan isu-isu pendidikan negara berbanding 28 peratus daripadanya berpuas hati.
Manakala, 62 peratus berpendapat PH tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah ekonomi negara dan sebaliknya bagi 29 peratus yang lain.
Justeru itu, ini memberi gambaran bahawa rakyat bakal melepaskan rasa tidak puas hati itu melalui PRU ke-15 dengan mengabaikan PH dan mengekalkan PN.
“Kesimpulan ini diperolehi khususnya melalui dapatan bahawa 57 peratus daripada responden menyatakan ketidakmampuan PH melaksanakan janji-janji di dalam manifesto pilihan rayanya.
“Malah, 62 peratus responden setuju dengan cadangan supaya Bersatu segera bergabung dengan Muafakat Nasional dan parti-parti politik selain dari PH,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Selain itu ulas beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi satu faktor penting dalam arena politik Malaysia berdasarkan kajian sama.
Hal ini kerana, melalui dapatan kajian, walaupun PH kekal diketuai oleh Tun Dr Mahathir, 55 peratus daripada responden tetap memilih Muafakat Nasional sebagai pakatan yang akan menang dalam PRU ke-15.
Membuat kesimpulan daripada kajian-kajian yang dijalankan, maka nyatalah bahawa PH akan mengalami kekalahan sekiranya berlaku sebarang pilihan raya yang diadakan dalam waktu terdekat.
Ini disebabkan, sekiranya berlaku pertarungan antara PH dan Muafakat Nasional, 55 peratus responden tetap memilih Muafakat Nasional lagi-lagi apabila Muafakat Nasional disertai Bersatu, bekas PKR dan parti-parti yang lain.- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan