Khamis, 11 Jun 2020

Pahang setuju kaji semula peraturan perlombongan

Setiausaha Kerajaan Negeri, Sallehuddin Ishak ketika meninjau lapangan pada 6 Jun.
(Gambar Facebook)

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju untuk mengkaji semula peraturan berkaitan aktiviti perlombongan bagi mengelakkan berlaku masalah pencemaran sumber air.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Sallehuddin Ishak berkata antara perkara yang dipersetujui ialah pindaan terhadap jumlah deposit Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama yang perlu dijelaskan sebelum operator boleh memulakan aktiviti melombong.

“Selain itu, syarat tenemen (lesen) mineral akan diperketatkan dan ditambah baik selain turut mewujudkan pelan pemulihan lombong yang lebih komprehensif melibatkan agensi kerajaan dan pemegang lesen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Keputusan itu dibuat ekoran pencemaran sumber air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Temau di Lipis yang dibincangkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam.

Pencemaran yang berlaku pada Mei lepas menyebabkan LRA itu terpaksa ditutup beberapa kali sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada 421 pemegang akaun di Felda Chegar Perah dan Felcra Sungai Temau.

Tinjauan di sekitar Sungai Temau pada Sabtu mendapati terdapat tapak lombong yang masih aktif dan bekas lombong yang tamat tempoh berhampiran LRA Sungai Temau.

“Hasil tinjauan mendapati berlaku limpahan air dari kolam sedimen di tapak lombong yang mengalir masuk ke anak sungai disebabkan kelemahan operator lombong dalam aspek penyelenggaraan kolam itu.

“Bacaan Kadar Tingkat Kekeruhan Air (NTU) juga tinggi iaitu 4,380 NTU pada 16 Mei lepas dan keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan lebat menyebabkan sumber air tidak boleh diproses,” katanya.

Sallehuddin berkata tindakan operator meninggalkan lombong tamat tempoh tanpa dibaik pulih juga mendedahkan kawasan itu kepada risiko pencemaran alam sekitar melibatkan aliran air dan tebing bukit.

Kerajaan negeri mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta kepada semua operator dan pemegang pajakan lombong di kawasan Sungai Temau selain notis, kompaun, atau saman akan dikeluarkan kepada mereka yang melanggar syarat perlombongan.

“Arahan tindakan penyelenggaraan juga dikeluarkan kepada operator lombong yang didapati mempunyai masalah kolam dipenuhi mendapan yang perlu dilakukan dengan serta-merta.

“Sebagai langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah gangguan pencemaran di LRA Sungai Temau, satu lencongan sungai sedang dibuat yang tidak akan melalui loji tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: