Rabu, 3 Jun 2020

Ketegasan sekat jualan arak amat disokong

HARAKAH DAILY



KUALA LUMPUR: PAS menyokong cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak.

Ia disusuli pula dengan pengumuman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menegaskan bahawa semua permohonan baharu lesen minuman keras dibekukan berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membekukan semua aktiviti pengeluaran dan penjualan arak sehingga satu mekanisma kawalan dapat dilakukan bagi mengelak kemalangan disebabkan pemandu mabuk.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan pembekuan itu adalah wajar sehingga satu garis panduan akan diwujudkan dan semakan perundangan dilakukan oleh pihaknya.

“Dengan kejadian pemandu mabuk dan menyebabkan kemalangan, wajar pengeluaran lesen baru menjual arak dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

“Lesen premis pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diperketatkan,” kata Annuar menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata melihat kenyataan itu satu ketegasan kerajaan dalam menangani isu pemandu mabuk.

Apatah lagi kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang awam di negara ini semakin hari semakin meningkat.

Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, mutakhir ini kawalan terhadap minuman keras sangat longgar sehinggakan ia dijual di kedai-kedai biasa dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja.

“Walaupun ada peraturan dan larangan kepada remaja di bawah 18 tahun dan juga larangan kepada umat Islam. Namun, ia langsung tidak dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, langkah DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan itu amatlah wajar dan perlu disokong penuh.

Sementara itu, beliau turut memberi cadangan supaya kerajaan mengukuhkan lagi pendidikan moral kepada masyarakat.

Malahan katanya hukuman dan tindakan yang perlu diambil untuk mengawal dan mengesan peminum dengan lebih komprehensif.

“Beberapa langkah pendidikan moral kepada masyarakat perlu ditingkatkan. Bahkan hukuman kepada pemandu mabuk, kedai yang menjual kepada remaja dan orang Islam perlu disemak semula, agar benar-benar menggerunkan,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: