PETALING JAYA: Kepentingan “menggagalkan” dasar kerajaan persekutuan berhubung pekerja asing semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), dan secara tidak langsung menjadi punca masalah semasa dalam pengurusan kelompok itu, kata bekas penasihat kerajaan Daim zainuddin.
Kegagalan mengatasi masalah pekerja asing tanpa permit sebelum ini membawa kepada masalah pengendalian wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja asing dan pendatang tanpa dokumen, sekali gus mencetuskan insiden xenofobia dalam kalangan orang ramai, katanya seperti dilaporkan.
Dianggarkan antara 2 hingga 4 juta pekerja asing tanpa dokumen berada di Malaysia.
Daim merupakan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang dilantik oleh perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad pada 2018.
Dalam satu temu bual bertulis, Malaysiakini melaporkan Daim berkata bahawa beliau secara peribadi menuliskan beberapa cadangan kepada Mahathir.
“Cadangan ini bukan sahaja boleh menjadi langkah wajar untuk mengesahkan dan menghantar pulang pendatang tanpa izin, tetapi juga boleh menghasilkan dasar pekerja asing yang lebih mapan. Sebaliknya ia digagalkan oleh kepentingan,” katanya dalam temu bual itu.
“Akibatnya, cadangan itu diketepikan dan satu lagi janji manifesto PH tidak dipenuhi.”
Beliau berkata, pegawai kerajaan tidak dapat menjalankan pengesanan pesakit Covid-19 dalam kalangan pekerja dan pendatang asing, dan tidak mempunyai angka tepat berhubung bilangan dan keberadaan mereka.
Penangkapan mengejut orang asing semasa operasi Covid-19 dan laporan kes jangkitan dalam kalangan mereka “bukan sahaja meningkatkan sikap xenofobia dalam masyrakat, tetapi juga memperkuat rasa enggan untuk tampil ke hadapan untuk tujuan penghantaran pulang secara sukarela,” katanya.
Ia juga menyebabkan rakyat Malaysia mempercayai bahawa wabak Covid-19 menular dalam kalangan orang asing, sekali gus memperkuat perasaan curiga, sikap tidak adil dan perasaan bimbang terhadap semua pekerja asing.
Justeru perniagaan turut menerima kesannya dan projek pembinaan tidak berjalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan