Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya yang digelar sebagai 'PH plus' dikatakan mencapai persetujuan bersama berhubung calon perdana menteri mereka.
Hal itu disahkah salah seorang pemimpin Bersatu, Marzuki Yahya, ketika ditemui media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Ketika ditanya media sebanyak dua kali mengenai hal itu, Marzuki menjawab: "Ya".
Bagaimanapun menurut kenyataan dikeluarkan PH sejurus selepas pertemuan tertutup itu berakhir menyatakan semua parti mengadakan perbincangan secara menyeluruh mengenai pendirian masing-masing dan menampakkan kemajuan yang amat positif.
"Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini," kata kenyataan tersebut.
Ia juga menyatakan mesyuarat petang tadi dipengerusikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Terdahulu sumber memberitahu pertemuan berkenaan dibuat bagi membolehkan mereka membuat keputusan secara rasmi.
"Kamu boleh jangkakan pengumuman calon PH Plus bagi jawatan PM lewat hari ini," kata satu sumber kepada Malaysiakini.
Mahu Mahathir sekali lagi
Berdasarkan maklumat dari sumber berkenaan, Malaysiakini difahamkan pemimpin tertinggi telah membuat keputusan berikutan beberapa siri perbincangan.
Menurut salah seorang anggota parti komponen PH, minggu lalu menyaksikan banyak pertemuan antara para pemimpin berkenaan dan persetujuan telah dicapai.
Seperti yang dijangkakan, calon tersebut adalah antara dua pemimpin yang telah menguasai landskap politik Malaysia selama lebih dua dekad - Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan jawatannya, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Malaysiakini juga difahamkan beberapa pemimpin PH mahukan Mahathir dinamakan sebagai perdana menteri sekali lagi walaupun Anwar kini mengetuai gabungan itu.
Sumber mendakwa perkara itu membuatkan Anwar marah, yang kemudian memilih untuk tidak menghadiri mesyuarat dengan Mahathir.
Ini termasuk mesyuarat di bangunan Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur minggu lalu, yang dihadiri oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dan lain-lain.
Sumber yang rapat dengan kem Mahathir dalam Bersatu memberitahu Malaysiakini bahawa Anwar dijangka hadir pada pertemuan 4 Jun itu.
Sementara itu, sumber dari kem Anwar mengesahkan perkara itu.
"Dia sama sekali tidak mahu melihat Tun (Mahathir)," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Sumber yang sama juga mendedahkan bahawa nama "PH Plus" mungkin terus digunakan disebabkan terdapat anggota parlimen yang bukan anggota PH.
Ini juga akan memastikan Mahathir dan empat ahli Parlimen Bersatu yang lain, yang sedang mencabar pengguguran keahlian mereka dalam Bersatu, tidak perlu bergabung dengan parti politik lain.
Mahathir terlibat dalam perebutan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menguasai Bersatu.
Sekiranya Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri dan jika "PH Plus" berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional, yang berkuasa dengan majoriti tipis dua kerusi parlimen, ini bermakna Mahathir akan memimpin negara untuk kali ketiga sejak 1981.
Tempoh pertamanya sebagai perdana menteri berlangsung selama 22 tahun, manakala kali kedua beliau menjadi perdana menteri berakhir dalam tempoh 22 bulan selepas tumbangnya kerajaan PH.
Krisis politik selama seminggu pada penghujung Februari lalu berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan