SESI persekolahan akan dibuka secara berperingkat bermula 24 Jun. Peringkat pertama melibatkan 500,444 pelajar sekolah menengah di 2,440 buah sekolah.
Menteri Pendidikan Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, buat permulaan sekolah dibuka untuk pelajar kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara
Menurutnya, Kementerian Pelajaran (KPM) akan mengumumkan perkembangan sesi persekolahan lain dari semasa ke semasa.
“Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru-guru telah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
KPM telah mengedarkan garis panduan pembukaan semula sekolah pada 4 Jun kepada semua sekolah supaya persiapan rapi dapat dibuat sebelum sekolah dibuka.
Dr. Mohd Radzi berharap ibu bapa atau penjaga dapat memastikan anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.
“Sekiranya, ibu bapa atau penjaga mendapati anak-anak tidak sihat atau bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas, tolonglah jangan hantar mereka ke sekolah.
“Sebaiknya bawalah anak-anak ini membuat pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya,” kata Dr. Mohd Radzi .
Menurutnya, guru-guru bertugas akan memeriksa suhu badan mereka di
pintu masuk sekolah. Pemeriksaan suhu badan juga akan dibuat kepada
guru, warga sekolah dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak
sekolah.
Pelajar yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5⁰C atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.
“Setelah pemeriksaan suhu badan dibuat, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang telah ditetapkan untuk menuju ke kelas masing-masing.
“Sewaktu di sekolah, murid akan diingatkan untuk sentiasa menjaga
kebersihan diri, terutamanya amalan mencuci tangan dengan kerap.
Contohnya, apabila murid tiba di sekolah, pada waktu rehat
dan sebelum meninggalkan sekolah,” katanya.
Meja-meja di dalam kelas disusun pada jarak satu meter dan kapasiti maksimum untuk sebuah kelas dengan
mengambil kira penjarakan sosial adalah tidak melebihi 20 orang murid.
Waktu rehat pula diadakan secara berperingkat. Makanan dan minuman siap dibungkus dan murid
perlu beratur mengikut tanda penjarakan semasa membeli makanan di kantin.
Murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan
guru. Ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menyediakan bekal makanan
untuk anak-anak mereka.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan