PETALING JAYA: Dua pemimpin Islam tidak bersetuju larangan sementara sertai solat berjemaah di masjid ke atas warga asing adalah diskriminasi.
Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman dan Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata langkah itu harus dilihat sebagai langkah mengawal Covid-19.
“Untuk Islam, tidak ada beza orang luar atau orang tempatan. Sama,” kata Rahman kepada FMT.
“Kalau kita boleh, semua orang sembahyang tapi tak boleh,” katanya, dan menambah kapasiti terbatas kerana perlu melaksanakan penjarakkan sosial, ciri penting dalam langkah mengawal penyakit berbahaya itu.
Kerajaan ketika mengumumkan pembukaan masjid secara berperingkat di seluruh negara berkata hanya orang tempatan akan dibenarkan sertai solat berjemaah dan solat Jumaat.
Langkah itu mengundang kritikan daripada aktivis Islam, Dr Ahmad Farouk Musa yang memberi amaran ia seakan xenofobia.
Sebaliknya, Farouk, yang mengajar perubatan di Universiti Monash, berkata masjid boleh melakukan pemeriksaan suhu badan di masjid dan mengimbas kod bar seperti yang diamalkan di kedai.
Rahman bagaimanapun berkata kapasiti terbatas bermakna tidak cukup ruang untuk memuatkan semua orang, termasuk orang tempatan.
Wan Salim bersetuju Islam tidak merestui sikap membenci terhadap semasa manusia walau apa jua pertimbangan dan alasan.
Beliau bagaimanapun berkata terdapat realiti sosial yang harus dipertimbangkan, termasuk persepsi kehadiran warga asing termasuk pelarian, boleh menggugat kedudukan ekonomi dan sosio budaya penduduk asal.
Wan Salim mencadangkan pihak berkuasa menempatkan komuniti berkenaan di kawasan tertentu sahaja di mana interaksi atau percampuran antara mereka dengan penduduk asal dapat dikurangkan.
“Pihak kerajaan juga perlu sentiasa berunding dengan ketua masyarakat Rohingya di Malaysia untuk menasihati anak buah masing-masing supaya sentiasa menghormati budaya tempatan dan menyesuaikan diri dengan tradisi masyarakat di negara ini.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan