Sabtu, 7 Disember 2019

Takkan tunggu nyanyi acara rasmi baru nak kecoh?

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

 

Cari sampai dapat siapa terjemahkan Negaraku versi Mandarin

WAHAI cikgu yang telah menjawat jawatan tinggi dalam Kementerian Pendidikan, bercakap benarlah walaupun pahit. Buang jauh-jauh budaya membodek ini. Cukup-cukuplah…

Apabila orang nombor satu yang menjaga sekolah memberikan respon, murid SJKC yang menyanyikan lagu Negaraku versi Mandarin tidak dilakukan dalam mana-mana acara rasmi, sebaliknya dalam bilik darjah sebagai satu latihan, agak mengejutkan saya.

Apa beza nyanyi lagu Negaraku dalam bilik darjah dengan luar bilik darjah? Dalam bilik darjah itu latihan, luar bilik nanti itulah praktikalnya. Takkan nak tengok sampai dinyanyikan dalam majlis rasmi baru nak kecoh?

Persoalan paling penting yang perlu disiasat dan dijawab, apa tujuan lagu Negaraku itu diterjemahkan dalam versi Cina, dan dinyanyikan dengan bersungguh-sungguh, kalau bukan untuk dinyanyikan di luar sekolah atau acara rasmi sekolah.

Saya juga membuat carian dalam youtube, mengenai lagu Negaraku yang terjemahkan dalam bahasa Arab. Baru saya jumpa ada sekolah agama turut menyanyikan lagu negaraku tersebut dalam bahasa Arab. Asasnya memanglah tidak wajar kerana mengubah jati negara. Namun, mengambil kira kedudukan Islam dan Melayu dalam Perlembagaan, masih boleh dibahaskan.

Pun begitu, jika langkah SJKC tersebut melakukan perkara sama atas alasan sekolah agama pun melakukannya, maka SJKC telah tersilap langkah.

Pemimpin nombor satu yang menjaga sekolah tidak perlu mendahului polis. Tidak perlulah keluar kenyataan lagi. Biarlah polis yang menyiasat. Tunggu dahulu siasatan polis, bukan terus berkata, lagu Negaraku tidak dinyanyikan dalam acara rasmi. Kalau nak membodek dan menjaga hati, jangan nampak sangat.

Takkan kita nak tunggu sampai ia dinyanyikan dalam acara rasmi. Saya menjadi semakin musykil, budaya nak menjaga hati orang ini yang keterlaluan, bagi memastikan pangkat dan kedudukan terjamin.

Siasatlah dan ambil tindakan dengan segera. Pertama, cari siapa yang terjemahkan Negaraku dalam versi Mandarin. Kedua, apa tujuannya? Ketiga, untuk apa latihan dibuat dalam kelas, sedangkan ia bercanggah sama sekali. Keempat, cari siapa guru kelas tersebut? Kelima, sudah berapa lama amalan ini dilakukan dalam kelas-kelas yang lain?

Tahukah bos nombor satu yang menjaga sekolah ini dan juga cikgu yang menjawat jawatan tinggi dalam kementerian, selama ini apabila lagu negeri-negeri yang ada kalimah Allah seperti negeri Selangor dan Pahang, pelajar-pelajar bukan Islam telah diarahkan oleh guru-guru dan ibu bapa supaya tidak menyanyikan lagi tersebut dan jangan sama sekali menyebut kalimah Allah dalam lagu negeri tersebut.

Pergilah buat siasatan bagaimana pelajar-pelajar bukan Islam mengunci mulut mereka apabia menyanyi lagu negeri kerana tidak mahu menyebut kalimah Allah yang terdapat dalam lagu tersebut? Buatlah siasatan.

Perkara ini sudah lama berlaku, tetapi terus dibiarkan begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan. Bila ada sesuatu berlaku, seperti isu ini, mulalah kecut perut. Pakat-pakat cari apa jua alasan untuk menjaga diri dan jawatan. Jujurlah pada amanah yang diberikan.

Pangkat dan jawatan ini hanya pinjaman, datang dan pergi. Jika bertahan pun, akan pencen juga nanti. Kita mahu harapkan apa lagi selepas itu? Adakah kita mengharapkan belas ihsan lagi selepas sudah bersara seperti yang berlaku kepada mereka yang sudah-sudah.

Akhirnya, ingin saya ingatkan ultra kiasu, setiap lagu negeri-negeri yang ada termaktub kalimah Allah, ada sejarahnya tersendiri. Jangan pertikai, jika kamu rakyat bersultan. Semua rakyat jelata, tidak kira Islam atau bukan, wajib menyebutnya tanpa berkecuali. Kerana apa?

Jika tidak faham lagi, saya jawab mudah, menunjukkan asal-usul negara ini dan negeri-negeri yang bernaung tidak dapat lari daripada jata negeri dan identiti Melayu dan Islam. Sejarah berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu. Justeru hormatilah ia walaupun kamu bukan Islam atau bukan Melayu.

*Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah- Pusat Pengajian Teras Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Tiada ulasan: