Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Undang-undang ketat, cuma lemah dari aspek penguatkuasaan
BANGI
– Jumlah pelancong China dan India yang masih berada dalam negara ini
berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 adalah satu perkara
yang amat membimbangkan.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong berkata,
angka yang didedahkan sehingga mencecah belasan ribu menunjukkan ramai
pelancong tinggal di negara ini secara tidak sah.
“Sudah tentu memberi kesan tidak baik
kepada sesebuah negara yang menghadapi masalah macam ini. Saya kira
perkara ini seboleh-bolehnya dibanteras oleh negara lain di dunia bahkan
negara yang cakna mengenai imigresen,” katanya ketika dihubungi Ismaweb
hari ini.
Kok Seong mengakui undang-undang di
negara ini ketat, bagaimanapun kata beliau, kita lemah dari segi
penguatkuasaan sehingga pelancong-pelancong itu berani tinggal di
Malaysia secara tidak sah.
“Justeru, kerajaan serta pihak Imigresen
patut ambil tindakan tegas terhadap mereka ini kerana menggugat
kedaulatan negara,” kata beliau.
Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara
2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus
pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016
sehingga tahun lalu.
Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga
2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia
(MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh
keluar.
Bagi warga India pula, kemasukan yang
dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5
peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen,
Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, berlaku sedikit salah faham
berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2018, mengenai jumlah pelancong
China yang masih berada di negara ini.
“Berdasarkan semakan imigresen, jumlah
sebenar pelancong China yang tidak keluar dari negara ini hanyalah 23
peratus (18,341) dan bukannya 95.6 peratus (76,258) seperti yang
dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.
“Perbezaan terbabit berlaku disebabkan
terdapat pelancong China yang masuk ke negara ini melalui Sistem
Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI). Tetapi apabila mereka
keluar, ia tak ada rekod menerusi eNTRI, sebaliknya hanya rekod keluar
melalui sistem biasa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan