Selasa, 10 Disember 2019

Alang-alang menyeluk di Ayer Keroh

AL ABROR MOHD.YUSOF


PULASAN | "Senyap PKR hari ini," kata seorang rakan semalam. Ia berlaku sehari selepas parti biru-putih-merah selesai berkampung di Ayer Keroh, Melaka. Atau kurang dari 24 jam selepas sebahagian daripada pemimpin dan penyokong PKR menikmati jamuan malam malam demi meraikan Wawasan Kemakmuran Bersama.

"Dah penat berucap berdegar-degar semalam, jadi semua orang letih. Hari ni mereka berehat. Esok boleh sambung berkelahi lagi," kata saya.

Memang kita tidak patut berharap mereka - maksudnya, kumpulan-kumpulan yang bertentangan itu - berehat walau sesaat. Seharusnya aktiviti pergaduhan itu dibiarkan berlanjutan tanpa jeda.
Kalau boleh, lebih afdal dibiarkan berpanjangan tanpa tidur lebih bagus.

Mungkin saranan ini kelihatan agak keterlaluan. Sesuatu yang nadir, biasanya begitulah. Tetapi kenadiran tidak semestinya menyesatkan (dan tidak seperti keyakinan sesetengah orang PAS, 'sesat' bukan semestinya masuk neraka).

Berbeza daripada pandangan kebanyakan orang, pertelagahan di antara kem Anwar Ibrahim dan kem Azmin Ali (dan kawan-kawan mereka) sebenarnya adalah sihat. Bukan saja untuk demokrasi dalam parti malah membawa maslahah yang banyak kepada negara.
Takdirnya, dunia ini selamanya berkembang hasil daripada pertembungan dua kutub bertentangan. Misalnya antara Habil dan Qabil di peringkat awal kejadian manusia.

Kemudian siri pertembungan dua kutub itu berterusan dari satu detik ke satu detik tanpa pernah gagal. Beza antara satu sama lain cuma skala pertembungan itu, sama ada kecil, sederhana atau besar.

Roh bangkit melawan

Maka untuk melihat parti seperti PKR berkembang dengan sihat, kita perlukan pertelingkahan begitulah. Dan sekarang peluang sedang terbuka luas. Terima kasih kepada Anwar dan Azmin, juga kabilah masing-masing yang gigih mengatur langkah untuk menundukkan lawan.

Dan setiap kejayaan itu dilakar hasil daripada korban yang berguguran.

Memang sepanjang proses itu akan ada yang terkorban atau dikorbankan. Pedulikanlah mereka untuk seketika kerana di depan sana ada matlamat yang lebih besar dan menggiurkan.

Untuk seketika ramai berharap untuk melihat lahirnya satu kabilah baru lahir daripada krisis dalaman PKR. Makan malam untuk Azmin dan kawan-kawannya berkongsi "kemakmuran bersama" di Hotel Renaissance adalah peluang yang besar untuk melihat kabilah yang jelas dalam parti itu.
Lantaklah sama ada apa yang diucapkan pada majlis itu bersandarkan fakta atau fiksyen. Apa yang penting, semangat dan rohnya sudah ada. Semangat dan ruh melawan.

Bukan belum ada kabilah dalam PKR sekarang. Ada, cuma ia belum dalam susuk yang nyata dan diinstitusikan.

Maka ada bayangan bakal lahir PKR - Perjuangan selepas berakhirnya kongres tahunan di Ayer Keroh itu. Alang-alang berkongres di Ayer Keroh, biar PKR sama-sama keruh, kan?

Ilham PKR - Perjuangan itu sebenarnya boleh dikaitkan secara longgar dengan lahirnya Parti Demokrasi Indonedia - Perjuangan (PDI-P) dari rahim Parti Demokrasi Indonesia.

Semunya berpusat kepada isu perebutan kuasa dan kepemimpinan. Macam PKR sekarang inilah.

Melaksanakan kata-kata

Cuma di Indonesia sana, PDI - P berjaya menjadi dominan sehingga ketua umumnya pernah menjadi presiden meskipun melalui gabungan parti-parti lain. Selepas itu parti berkenaan tetap mempunyai pengaruh yang besar untuk mencorakkan kerajaan.

Maka di Malaysia ini - sesuai dengan sesetengah pihak yang gemar benar mencontohi, atau mengambil ruh percaturan politik dari Indonesia - tidak ada sebab mengapa tidak boleh diwujudkan PKR - Perjuangan.

Sama ada akhirnya Azmin dapat menjadi perdana menteri atau tidak, itu soal kedua. Bak kata-kata keramat PKR: Lawan tetap lawan. Lawanlah bersungguh-sungguh.

Berkias-kias, berbidalan, berlapik-lapik apanya lagi? Biarlah kerja bermain peribahasa, bidalan dan perumpamaan itu dikerjakan oleh Presiden PAS. PKR tidak perlu. PKR kena berterus terang dan jelas dalam kata-kata.

Bukankah perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata? Sesudah maju, untuk apa ditekan brek? Langgar sajalah. Rakyat sedang tertunggu-tunggu Azmin dan Anwar bersilat secara jantan dan budiman.
Kita sudah terlalu lama hidup dalam bayang-bayang kata berlapik dan madah berhias. Sindir-menyindir tak sudah-sudah. Musa Hitam sudah lama mencadangkan agar orang Melayu menjadi 'kurang ajar' untuk berjaya, tetapi ramai benar yang masih terkedu di takuk lama.

Sementara menunggu kemelut itu berakhir, pilihan raya umum (PRU) ke-15 pun tibalah. Jika pertempuran itu belum berakhir, maka rakyat mendapat peluang yang besar untuk membuat keputusan sama ada memberikan PKR mandat sekali lagi menjadi kerajaan atau sebaliknya.

Andainya pertembungan itu menyebabkan korban yang banyak sebelum PRU ke-15, bertenanglah. Ia juga suatu rahmat yang terselindung.

Berlaku korban dalam PKR bermakna ada kekosongan dalam parti tersebut. Mahu atau tidak, ia perlu diisi. Jika korban yang berlaku secara meluas - malah kalau kedua-dua kem ranap sekali pun - itu lebih baik.

Itulah peluang untuk saki-baki anggota parti menaikkan generasi baru secara en bloc dalam PKR. Ia menjadi detik permulaan PKR yang baru dan segar. Mungkin juga yang lebih cerdik.

Apabila itu berlaku, ahli-ahli PKR sebenarnya sedang menekan punat 'reset' kepada sebuah parti yang ditubuhkan hasil daripada sebuah reformasi.

Itulah matlamat sebenar rakyat terbanyak. Juga di sana juga terletaknya harapan sebenar, kerana apa yang ada ketika ini tidak lebih daripada bahan buangan yang tidak mempunyai nilai apa-apa.


*AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pernah tidur dalam kereta di depan rumah Anwar Ibrahim di Cherok Tok Kun, Seberang Perai Tengah pada 1998.


Tiada ulasan: