Selasa, 3 September 2019

'Hanya Najib dan Jho Low ada gambaran penuh percaturan 1MDB'


   

KES 1MDB NAJIB | Hanya Najib Razak dan Low Taek Jho yang ada "gambaran penuh" percaturan berhubung urus niaga 1MDB pada masa itu, kata bekas pegawai khas Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah 1MDB terhadap bekas bosnya, Amhari Efendi Nazaruddin juga menyifatkan Low sebagai "master manipulator" ketika berurusan dengan pihak dalam dan luar, dan perkara itu diketahui Najib sendiri.

Amhari memberi keterangan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah berkenaan usaha sama 1MDB dengan Petrosaudi International (PSI) dan Aabar Investments PJS BVI (Aabar BVI).

Membaca pernyataan bertulisnya, Amhari menjelaskan dia mula berkhidmat sebagai pegawai khas Najib, daripada Bank Negara Malaysia, sejak 2008 ketika Najib masih menjadi timbalan perdana menteri.

Katanya, antara tugasnya ketika Najib menjadi perdana menteri pada 2009 ialah untuk menyusun program berkenaan 1MDB, di bawah pemantauan Allahyarham Azlin Alias, yang ketika itu pengarah bahagian ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.
Amhari Efendi
Azlin juga menjadi setiausaha sulit Najib pada masa itu.

"Sepanjang pengalaman saya berhubung dengan Jho (Low), saya dapati Jho bijak memanipulasi semasa berurusan dengan pegawai di pelbagai peringkat dan pangkat sama ada di dalam Malaysia atau di luar negara yang mana kebanyakannya adalah di dalam pengetahuan Najib.

"Maka hanya Jho dan Najib sahaja yang akan mengetahui gambaran yang paling penuh berhubung percaturan yang mereka rancang.

"Jho adalah master manipulator dan dalam keadaan ini, boleh saya katakan sekarang bahawa saya telah digunakan dengan tujuan yang tidak ikhlas," katanya di mahkamah.

Menurut laporan Aabar BVI adalah syarikat yang ditubuhkan agar mirip Aabar, subsidiari International Petroleum Investment Company (IPIC) yang sah.

Bagaimanapun Aabar BVI dikawal oleh segelintir pegawai Aabar yang berpakat dengan Low.

Amhari berkata lagi, dia dan Azlin hanya tahu tentang dakwaan penyelewengan bekaitan 1MDB selepas laporan media mula timbul sejak 2014, memandangkan kerja mereka "dibahagi-bahagi secara silo (berasingan)".

Menurut keterangan Amhari lagi, pada peringkat awal Low akan menyediakan jawapan untuk digunakan atau mengarahkan Azlin melaksanakan "damage control atau follow up" ketika media antarabangsa dan tempatan seperti Sarawak Report, Wall Street Journal, New York Times dan The Malaysian Insider mula melaporkan isu itu pada 2014 dan 2015.

"Saya sahkan peranan saya dalam isu Petrosaudi ini adalah terhad kepada tindakan susulan atau pelan komunikasi yang mana saya akan bertindak sebagai orang tengah untuk menyelaras mesyuarat antara Azlin dan Jho Low sahaja. Saya akan turut hadir dalam mesyuarat itu.

"Penglibatan saya secara langsung dalam usaha sama Aabar pula adalah untuk membantu memudah cara supaya kerajaan Malaysia dan kerajaan UAE tidak membawa isu pembayaran IPIC ke Mahkamah Antarabangsa," katanya lagi.


Tiada ulasan: