Sabtu, 15 Disember 2018

Umno akui begitu perit hilang kuasa

HARAKAHDAILY


KOTA BHARU: Kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 diakui Umno sebagai cabaran paling besar dihadapi dalam perjuangan parti itu.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub berkata, setelah kalah dalam PRU lepas begitu menyulitkan kepemimpinan.

Namun kata beliau jasa parti terhadap pemimpin amat besar.

“Saya percaya dugaan ini akan memberikan hikmah yang amat besar untuk kita kembali bangkit daripada kekalahan.

“Saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan menegaskan tidak ada sekelumit pun terlintas untuk keluar daripada parti malah akan merapatkan saf bagi meneruskan perjuangan,” katanya pada satu kenyataan di sini.

Anggota Parlimen Tanah Merah, Dato’ Ikhmal Hisham Abd Aziz hari ini mengumumkan meninggalkan Umno.

Beliau menjejaki langkah Anggota Parlimen Jeli, Dato’ Seri Mustapa Mohamed yang meninggalkan parti Umno pada September lepas.

Ahmad Jazlan yang juga anggota parlimen Machang berkata, beliau memohon kepada semua ahli Umno Kelantan supaya bertenang, bersabar dan beristiqamah dalam perjuangan. - HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan: