Rabu, 19 Disember 2018

Tunggu 2021,Jika mahu jadi presiden - Zahid

THE MALAYSIAN TIMES





KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas mereka yang menyeru beliau meletakkan jawatan presiden bagi memberi laluan kepada pemilihan baru.

Zahid secara nakal bersetuju dengan pemilihan baru, tetapi selepas penggal sekarang tamat pada 2021.

“Yang nak gila talak ini pasal apa? Masa itu bertandinglah semula. Ketika itu semua jawatan kosong,” katanya dalam wacana bersama ahli parti semalam.

Beliau tidak menamakan mana-mana individu. Sebelum ini, antara pihak yang mendesak dia meletakkan jawatan adalah Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, Pemuda Sabah dan Pemuda Alor Setar.
Mesyuarat luar biasa

Zahid meminta ahli supaya memberikan peluang kepada pemimpin sekarang menjalankan tugas mereka dalam tempoh masa 3 tahun ini.

“Jangan cucuk-cucuk dari bawah dan belakang,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ahli bahawa tiada peruntukan dalam perlembagaan yang menyatakan pemilihan baru harus diadakan.

Mengenai seruan mengadakan mesyuarat agung luar biasa, Zahid meminta ahli supaya merujuk kepada peruntukan berkaitan dalam perlembagaan mereka, yang antaranya berkata ia mesti diminta oleh 2/3 daripada mesyuarat perwakilan peringkat bahagian.

“Bacalah perlembagaan kalau mahu jadi presiden,” katanya.

Jangan jadi ketam

Dalam pada itu, beliau menegur ahli parti jangan “memijak” sesama sendiri ketika Umno cuba bangkit daripada kekalahan.

Beliau meminta semua tindakan mesti secara keseluruhan, agar parti tidak diracik-racikkan.

“Bagai menatang minyak yang penuh. Agar minyak tak tumpah. Jangan jadi ketam dalam bakul.

Apabila budaya memijak berlaku, tiada seekor ketam boleh keluar, semua akan mati,” katanya.

Beliau turut merayu kepada ahli-ahli memujuknya letak jawatan atau mengugut akan melompat ke parti lain.

“Kembalilah. Saya sanggup berkorban, tetapi tak akan letak jawatan. Mungkin boleh cari jalan tengah untuk selamatkan keadaan,” katanya.

Dihina, diaibkan

Zahid berkongsi pengalamannya dan beberapa pemimpin kanan parti dihina dan diaibkan oleh beberapa orang dalam mesyuarat yang berlangsung selepas pilihan raya umum.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan individu yang ditemui atau tujuan mesyuarat itu.

Menurut Zahid, mereka yang ditemui memberikan permintaan yang “harganya terlalu mahal”.

“Seolah-olah Umno ini dalam najis mughallazah,” kata Zahid.

“Pertama, Umno dibubarkan. Kedua, ahli-ahli Umno mesti lompat ke parti baru. Ertinya, sejarah Umno selama 7 dekad itu mahu dipadamkan, oleh kerana semua rakyat benci Umno – rasuah, rompak, samun,” katanya.

Beliau bagaimanapun menolak permintaan itu, dan berkata pendirian tersebut disokong oleh majlis tertinggi parti.

“Pendirian saya ketika itu: Jalankan tugas-tugas seorang presiden. Tiada tolak ansur. Takkan lompat atau bubarkan Umno demi alif-ba-ta (agama-bangsa-tanahair).”

“Biarpun diaibkan dan dihina, namun untuk padam Umno tidak ada dalam kamus politik saya,” katanya.

Tiada ulasan: