MALAYSIAKINI
Ahmad Zahid Hamidi hari ini bercakap mengenai syarat-syarat
"menghukum" yang dikenakan terhadap Umno dan penghinaan yang terpaksa
dilaluinya dalam beberapa mesyuarat yang beliau hadiri.
"Bukan penolakan secara literal tetapi penolakan untuk penghinaan dan juga suata tindakan untuk seolah Umno ini berada di dalam najis mughallazah. Najis ini paling berat sekali, seolah seperti najis binatang-binatang haram," katanya.
Bagaimanapun Zahid tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai pertemuan rahsia yang menjadi misteri itu.
"Ada dua permintaan. Pertama Umno mesti dibubarkan, ahli-ahli Umno mesti melompat ke sebuah parti baru. Ertinya sejarah Umno selama tujuh dekad itu mahu dipadamkan dan oleh kerana kononnya semua rakyat benci kepada Umno. 'Umno rasuah, perompak, penyamun'," kata beliau kepada anggota parti itu dalam suatu majlis dialog di Kuala Lumpur malam tadi.
Zahid memaklumkan dalam pertemuan rahsia itu beliau terpaksa membayar harga yang mahal kerana bertegas Umno tidak boleh dibubarkan.
Beliau memberitahu ketika pertemuan berkenaan berlangsung beliau ialah pemangku presiden Umno.
Jalan lompat tidak afdal
"Apabila begitu penghinaan dikenakan kepada kita..rakan dalam majlis tertinggi yang telah beri mandat kepada saya tidak goyah malah sokong pendirian saya tidak afdal jalan untuk kita lompat, untuk kita bubar parti keramat ini.
"Tapi azam saya biar pun kita ditolak, diaibkan, dihina, namun untuk membubarkan Umno... tidak ada dalam kamus politik saya," tegasnya.
Pada 7 Jun lalu, kira-kira sebulan selepas Umno kalah dalam pilihan raya umum ke-14, Zahid telah bertemu dengan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
Zahid berkata pertemuannya dengan Mahathir telah silap dibaca, membawa kepada tindak balas yang diterima.
Beliau menambah pertemuan itu bukan bertujuan supaya pemimpin-pemimpin Umno melompat parti.
Pakatan Harapan dan sekutunya memenangi 121 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat pada PRU14.
Bagaimanapun, Bersatu hanya menguasai 13 kerusi pada masa itu.
Walaupun kehilangan kuasa, Umno memenangi 54 kerusi parlimen, namun kini berkurangan menjadi 38 kerusi selepas pengumuman pemimpinnya keluar parti.
Sekurang-kurangnya tiga bekas ahli parlimen Umno telah menyertai Bersatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan