Susulan pendedahan mengenai cubaan menggulingkan Menteri Besar Perak oleh seorang Exco kerajaan negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan memanggil Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Memetik laporan akhbar tempatan, selain Saarani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO juga turut akan dipanggil berhubung dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Zainul Darus, berkata semua saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan mereka berhubung siasatan itu.
“Kita akan panggil semua saksi termasuk Datuk Saarani dan lima ADUN UMNO untuk diambil keterangan.
“Perkara ini sedang diaturkan dan kita akan lakukannya secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas tindakan seterusnya yang akan diambil SPRM berhubung siasatan isu itu selepas agensi itu mengesahkan sudah memanggil dan mengambil keterangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari, yang didakwa dalang utama usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Semalam, Abdul Aziz sendiri dalam satu kenyataan mengakui memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM di sini.
Sementara itu, Saarani yang mendedahkan Abdul Aziz sebagai dalang utama usaha menjatuhkan Ahmad Faizal termasuk bertemu dengan ADUN UMNO bagi tujuan itu berkata, dirinya tiada masalah jika dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan