Rabu, 12 Disember 2018

Setiausaha MB S'gor tegur Khalid Samad

MALAYSIAKINI

   

Langkah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menjadikan Bandar Raya Shah Alam sebagai kawasan 'uji kaji' bagi pilihan raya kerajaan tempatan dipersoal setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah.

Borhan berkata Khalid seharusnya merujuk kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan kerana ia melibatkan banyak pihak termasuklah penjawat awam.

“Saya berpandangan adalah wajar dan bijaksana sekiranya Menteri Wilayah Persekutuan merujuk kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan terutamanya membabitkan Shah Alam yang merupakan pusat pentadbiran Selangor.

“Saya berharap agar semua pihak lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kesejahteraan Selangor dan kerajaan negeri amat komited untuk meningkatkan sosio-ekonomi rakyat di samping mengekalkan kesentosaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad Isnin lalu menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi mengelak ketidakseimbangan di antara kaum.

Namun, tidak sampai 24 jam selepas pendirian Mahathir itu, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pula mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah apabila bertegas mahu meneruskan kajian mengenai cadangan itu.

Semalam veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak mendapat maklumat yang tepat apabila mendakwa pilihan raya kerajaan tempatan boleh mengundang masalah antara kaum jika dilaksanakan di negara ini.

Kata Lim polarisasi kaum di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini telah "diperbetulkan" pada 2010 dan ia kini dikuasai oleh majoriti orang Melayu.

Beliau juga mengakui perkara itu tidak termasuk dalam manifesto PH, tetapi ia diperjuangkan DAP sejak 50 tahun lalu.


Tiada ulasan: