Khamis, 20 Disember 2018

RUU mansuh hukuman mati dibentang pada sesi Dewan Rakyat akan datang

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata Jabatan Peguam Negara kini sedang dalam peringkat akhir menyediakan kertas perundangan untuk tujuan berkenaan.

“Semua persediaan telah lengkap, hanya ada sedikit sebanyak persediaan yang perlu dilengkapkan, jadi ini tidak akan mengambil masa panjang.

“Di pihak kementerian, setakat ini terdapat sedikit sebanyak perubahan yang mana mereka perlu meninjau lagi sedikit beberapa isu dan saya rasa dalam sesi akan datang semua isu dapat dilengkapkan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Menurut takwim daripada laman web Parlimen, sesi Dewan Rakyat seterusnya akan berlangsung bermula 11 Mac hingga 11 April 2019.

Beliau berkata keputusan untuk pemansuhan hukuman mati mandatori itu adalah suatu keputusan kolektif yang telah dicapai oleh jemaah menteri.

Liew sebelum ini berkata jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Okt lepas, turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.– Bernama

Tiada ulasan: