Khamis, 6 Disember 2018

Rasuah sudah jadi nilai hidup, budaya orang Melayu - Tun Mahathir

Astro Awani
Rasuah sudah jadi nilai hidup, budaya orang Melayu - Tun Mahathir
MAHATHIR: Apa sahaja sanggup dibuat jika disogok dengan wang atau pemberian yang diminati. - Gambar fail/BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa bimbangnya terhadap segelintir masyarakat masa kini yang dilihatnya tidak lagi segan atau malu dengan pemberian dan penerimaan rasuah.

Katanya, perbuatan 'memperasuahan' kerap dilakukan dalam masyarakat sehingga menjadi sebahagian dari budaya mereka terutama dikalangan orang Melayu.

"Mereka yang mengamal rasuah akan menyembunyi perbuatan mereka kerana sedar yang ia adalah sesuatu amalan yang salah di sisi undang-undang dan agama juga.

"Tetapi apabila masyarakat terima amalan rasuah sebagai perkara biasa yang boleh diamal secara terbuka, maka tidak lagi ada perasaan segan silu apabila melakukannya, baik oleh pemberi atau penerima," kata beliau dalam catatan terbaharu di blognya www.chedet.com, pada Rabu malam.

Menurut Dr Mahathir, di zaman pemerintahan yang percaya cash is king atau 'wang adalah raja', pemberian dan penerimaan rasuah menjadi satu dari nilai hidup mereka.

"Apa sahaja sanggup dibuat jika disogok dengan wang atau pemberian yang diminati. Soal baik buruk sesuatu yang diberi atau diarah tidak termasuk dalam pertimbangan.

"Percanggahan dengan undang-undang, bahkan berdosa dari segi agama tidak diambil kira. Yang diutamakan ialah pendapatan yang memuaskan nafsu," katanya.

Jelasnya, golongan itu sedar bahawa perbuatan menyogok dan menerima rasuah itu tidak baik dan dilarang, namun disebabkan nafsu dan wang, mereka menerima sahaja tanpa memikirkan kesan buruknya terhadap masyarakat.

"Sudah tentu perasaan kebangsaan dan kesan terhadap bangsa dan negara tidak lebih utama dari nafsu penerima rasuah," tambahnya.

Tiada ulasan: