Ahad, 16 Disember 2018

Rahim Thamby Chik serah borang sertai PPBM kerana Zahid





PETALING JAYA: Veteran Umno dan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik menyerah borang sertai PPBM hari ini.

Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi PPBM Melaka Mohd Redzuan Md Yusof di konvensyen parti itu di Ayer Keroh, Melaka petang tadi bersama 100 borang permohonan lain.

Ahli keluarganya ketika dihubungi berkata Rahim, 68, mahu bertukar parti kerana Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebab keluar kerana Umno tidak pulih bawah kepimpinan Zahid,” kata sumber itu, yang tidak mahu dinamakan.

Rahim adalah ketua menteri Melaka dari 1982 hingga 1994. Sekiranya permohonan diterima, Rahim akan berada dalam satu gabungan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim dituduh bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan Seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan selepas mengkritik kerajaan berhubung kes rogol statutori terhadap Rahim pada 1994.

Kerajaan dikritik selepas pendakwaraya menarik balik pertuduhan kerana ketiadaan bukti. Lim dipenjarakan dan dibebaskan selepas 12 bulan pada 1999.

Sementara itu, Rahim dalam ucapannya di majlis penyerahan borang mengakui dia berasa sedih meninggalkan Umno selepas 40 tahun berjuang untuk orang Melayu bersama parti itu.

“Kesilapan pemimpin Umno menabur budaya rasuah menjadi kanser yang memakan akar umbi Umno itu hingga semakin sukar diperbetulkan dan pada pilihan raya umum lepas Umno kecundang,” katanya lapor Bernama.

“Saya keluar kerana PPBM kini boleh membela orang Melayu dengan lebih baik, cekap dan berkesan yang mana Umno kini sudah tiada kapasiti untuk bergerak demi perjuangan orang Melayu.”

Tiada ulasan: