Isnin, 3 Disember 2018

Putrajaya sahkan ATM tak terlibat serangan di Yaman


ATM hanya memberikan sokongan logistik kepada pakatan
tentera Arab. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Ops Yaman 2 yang menempatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi sejak 2015 dihentikan pada 4 Sept lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata penarikan balik penempatan tentera itu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) melihat ia tidak selaras dengan dasar pengecualian Malaysia.

“Pada asalnya anggota ATM diatur gerak untuk evakuasi rakyat Malaysia di Yaman namun diubah misi membantu Pakatan Tentera Arab terhadap Yaman.

“Ini bertentangan dengan dasar luar negara yang tidak campur tangan dalam urusan konflik negara lain dan penglibatan antarabangsa Malaysia hanya melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya dalam sesi soal jawab lisan terhadap soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) yang ingin tahu tugas-tugas anggota tentera yang berpangkalan di Riyadh.Liew berkata ketika ini dianggarkan seramai 700 rakyat Malaysia masih berada di Yaman.

Menjawab soalan tambahan Chang yang ingin tahu peranan ATM dalam operasi di Yaman dan standard operasi prosedur di negara lain, Liew berkata ATM tidak terlibat dalam aktiviti combatan tetapi memberikan sokongan logistik kepada pakatan tentera Arab.

“Dari segi SOP, saya difahamkan Menteri Pertahanan yang lalu tidak dapat kelulusan Kabinet untuk Ops Yaman 2. Ops Yaman 2 tidak ada keputusan Kabinet untuk meluluskan gerakan trup ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pula sama ada Malaysia menerima prospek timbal balas dalam bentuk pembelian aset pertahanan oleh Arab Saudi sebagai menghargai sokongan Malaysia, Liew berkata beliau difahamkan tidak ada sebarang timbal balas diberikan setakat ini.

“Bagaimanapun saya akan beri jawapan bertulis kerana saya tidak pasti sepenuhnya,” jelasnya.


Tiada ulasan: