Sabtu, 1 Disember 2018

PRK Rantau: Streram antara 5 nama calon PH




SEREMBAN: Timbalan Ketua PKR Rembau Dr S Streram antara lima nama yang dicadangkan oleh PKR Negeri Sembilan untuk pertimbangan pucuk pimpinan sekiranya pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diadakan, kata pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata pada masa sama terdapat beberapa pemimpin lain turut menawarkan diri untuk bertanding.

“Biasalah…setiap kali ada pertandingan masing-masing menawarkan diri. Ini merupakan satu demokrasi yang biasa dan kita sedia maklum dan serah kepada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa calon terakhir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Beramai-ramai ke-11 KPJ Seremban hari ini.

Beliau yang diminta mengulas mengenai perebutan dalam kalangan beberapa pemimpin PKR Rembau untuk menjadi calon PRK itu bagaimanapun berharap mereka yang tidak terpilih tidak akan berkecil hati dan bersama-sama membantu menggerakkan jentera untuk merampas kerusi DUN berkenaan.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan di kerusi berkenaan selepas hakim membenarkan petisyen yang difailkan calon PH, Dr Streram.

Pada hari pencalonan 28 April lalu, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi itu selepas satu-satunya pencabar Dr Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mohamad pada Khamis dilapor memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya

Tiada ulasan: